Cabaran automotif terunggul, mempamerkan kemajuan teknologi pada masa itu. Perlumbaan ketahanan merupakan acara menarik yang memukau penonton di seluruh dunia.
Hari ini, Rolex merupakan rakan kongsi dua kejohanan perlumbaan ketahanan terbesar: Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (WEC), yang berlangsung di Eropah, Asia, Amerika Utara dan Selatan, dan Kejohanan Kereta Lumba WeatherTech, yang berlangsung di Amerika Syarikat dan Kanada.
Kejohanan Ketahanan Dunia FIA
Kebolehpercayaan dari masa ke masa
Kejohanan Ketahanan Dunia FIA terdiri daripada siri perlumbaan yang diadakan setiap tahun di litar lumba berprestij di Eropah, Timur Tengah, Asia, Amerika Utara dan Selatan. Bilangan perlumbaan berbeza-beza dari satu tahun ke tahun berikutnya (antara enam ke sembilan perlumbaan).
Sejak 2016, Rolex telah menjadi Penjaga Masa Rasmi WEC, yang merangkumi 24 Jam di Le Mans yang terkemuka di Perancis.
Perlumbaan lain yang kerap dimasukkan ke dalam jadual kejohanan ini ialah: 6 Jam di São Paulo (Brazil), 6 Jam di Spa-Francorchamps (Belgium), 6 Jam di Imola (Itali), 6 Jam di Fuji (Jepun) dan 8 Jam di Bahrain (Kerajaan Bahrain).
Walaupun masa dan peraturan mungkin berbeza, setiap acara menuntut kecekalan, komitmen dan kebolehpercayaan mekanikal yang sama. Setiap acara merupakan sebahagian daripada usaha memburu kecemerlangan untuk pemandu dan juga pasukan teknikal.
Kejohanan Kereta Lumba WeatherTech
Acara terkemuka di Amerika Utara
Sejak 2025, Rolex telah menjadi Penjaga Masa Rasmi Persatuan Sukan Permotoran Antarabangsa (IMSA) dan siri perlumbaan Kejohanan Kereta Lumba WeatherTech, yang bermula pada penghujung Januari setiap tahun dengan perlumbaan ikonik, Rolex 24 Di DAYTONA.
Dengan menampilkan pelbagai perlumbaan di litar berprestij di Amerika Syarikat (merangkumi Indianapolis, Sebring dan Laguna Seca) dan Kanada (Mosport Park), Kejohanan Kereta Lumba WeatherTech mempertandingkan pasukan dan kru terbaik. Perlumbaan ini dipertandingkan mengikut empat kategori kereta: dua prototaip dan dua kelas GT.
Daytona, Le Mans, Sebring – Tiga Mahkota perlumbaan ketahanan
Dalam perlumbaan ketahanan, Tiga Mahkota merujuk kepada tiga acara terpenting dalam kalendar sukan permotoran, yang kesemuanya disokong oleh Rolex sebagai rakan kongsi utama dan Penjaga Masa Rasmi: Rolex 24 Di DAYTONA, 24 Jam di Le Mans dan 12 Jam di Sebring. Kemenangan dalam mana-mana acara ini merupakan satu kejayaan besar.
Rolex 24 Di DAYTONA berlangsung di Daytona International Speedway yang gah, “litar lumba terulung” sepanjang kira-kira 4 kilometer (2.5 batu) dengan selekoh yang menuntut ketepatan dan tumpuan tertinggi.
Sebagai perlumbaan ketahanan tertua dan paling berprestij di dunia, 24 Jam di Le Mans menguji stamina fizikal dan juga mental pemandu, dengan laluan yang terkenal dengan kesukaran pemanduan pada waktu malam. Sejak 1923, beberapa nama terhebat sukan permotoran telah mengukir kejayaan di sini, termasuk juara rekod sembilan kali dan Testimoni Rolex, Tom Kristensen.
12 Jam di Sebring di Florida memiliki reputasi sebagai satu daripada pertandingan ketahanan yang paling mencabar di dunia. Dengan permukaan yang tidak rata dan beralun, Litar Lumba Antarabangsa Sebring merupakan ujian sebenar bagi kebolehpercayaan kereta. Pada bulan Mac, di sinilah ramai pesaing dalam 24 Jam di Le Mans hadir untuk menguji kekuatan mekanikal jentera mereka.