Mulsanne Straight dan dua selekoh zig-zag terkenal pada peringkat antarabangsa. Apabila malam tiba, selekoh ini menjadi cabaran bagi setiap pemandu.
Bukan sekadar mendambakan hadiah, acara ini menjadi lambang pengiktirafan. Trofi 24 Jam di Le Mans membolehkan pemenang memahat nama dalam sejarah perlumbaan. Selama suku abad, Rolex telah menjadi rakan kongsi utama perlumbaan ketahanan tertua dalam sukan permotoran ini.
Seruan ketahanan
Semua pasukan ada satu objektif yang sama: untuk menempuhi jarak terjauh dalam masa 24 jam. 24 Jam di Le Mans yang dirasmikan pada tahun 1923 merupakan perlumbaan ketahanan paling terkenal di dunia.
Setiap juara, termasuk yang mahir dalam pertandingan kelajuan, mengimpikan untuk menyahut cabaran dalam perlumbaan legenda ini. Acara ini merupakan ujian ketat terhadap kebolehpercayaan jentera serta stamina fizikal dan mental pemandu.
Tokoh terkemuka dalam sukan permotoran dan Testimoni Rolex legenda, Sir Jackie Stewart bertanding dalam 24 Jam di Le Mans pada tahun 1965. Bintang Hollywood legenda, Paul Newman turut menyahut cabaran itu. Pelakon dan pemandu veteran itu mendapat tempat pertama dalam kelasnya dan kedua keseluruhan semasa penampilan tunggal pada tahun 1979. Legenda perlumbaan ketahanan, Tom Kristensen dikenali sebagai Jaguh Le Mans kerana keunggulan rekod sembilan kemenangan keseluruhan – termasuk enam berturut-turut – dalam perlumbaan yang terkenal ini.
Matahari terbit di arena 24 Jam di Le Mans.
Inovasi melalui tradisi
Acara sukan yang unik ini diwujudkan untuk menyumbang kepada pembangunan teknikal dan pertumbuhan pasaran automotif.
Pada tahun 1923, 33 pasukan yang terdiri daripada dua pemandu menyertai perlumbaan sulung 24 Jam di Le Mans. Pada era moden ini, setiap bulan Jun, lebih 60 buah kereta dengan tiga pemandu bertanding sempena 24 Jam di Le Mans dalam tiga kategori – Hypercar, LMP2 dan LMGT3. Inilah peluang untuk banyak pengeluar terkemuka dan pasukan persendirian mempamerkan kepakaran teknologi mereka.
Rolex merupakan Rakan Kongsi Eksklusif dan Penjaga Masa Rasmi 24 Jam di Le Mans, dengan edisi perlumbaan 2026 menandakan ulang tahun ke-25 perhubungan ini.
Sebarang penamat di Le Mans sudah cukup hebat tetapi setiap kali saya berada di sana, misi saya adalah untuk menang.
Usaha memburu kecekapan tenaga merupakan satu lagi cabaran utama demi masa depan sukan permotoran. Pengeluar menggunakan pertandingan ketahanan untuk menguji penyelesaian yang inovatif. Sejak 2022, 24 Jam di Le Mans dan Kejohanan Ketahanan Dunia (WEC) FIA telah menggunakan bahan api bio mampan yang diperakui sepenuhnya.
Automobile Club de l'Ouest (ACO), penganjur 24 Jam di Le Mans, berazam mahu mencapai keneutralan karbon menjelang 2030. ACO menjalankan projek Misi H24 sepanjang program Perlumbaan Menuju 2030. Hasratnya adalah untuk mencipta kategori yang dikhaskan untuk prototaip berkuasa hidrogen-elektrik di Le Mans menjelang 2028.