Kemudian, tapak ini mempunyai dua unit pengeluaran yang mengagumkan, iaitu tempat pemasangan akhir komponen jam tangan yang dibuat di tapak lain dijalankan. Jam tangan yang telah siap turut menjalani beberapa siri ujian di tapak ini sebelum menerima Pensijilan Superlative Chronometer, yang menjamin prestasi yang tiada tandingan dari segi ketepatan, rizab kuasa, kekalisan air dan automasi.
1/5 Tapak pengeluaran
Acacias
Ibu pejabat dunia Rolex yang terletak di daerah Acacias di Geneva menghimpunkan Lembaga Eksekutif serta semua aktiviti pentadbiran, komersial, komunikasi, penajaan dan kerja amal, di samping eksport dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh dunia. Diperbesar pada tahun 2022, tapak di Acacias turut menempatkan aktiviti reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan yang penting bagi kelahiran jam tangan Rolex baharu.
Kitaran yang menghidupkan jam tangan bermula di Acacias.
Dengan tahap penyepaduan dan ketaksandaran industri yang dimiliki, Rolex mampu membentuk pasukan berbilang disiplin yang sangat berdikari dan menyediakan suasana kerja yang optimum untuk merencana setiap aspek jam tangan dari awal projek.
Struktur ini menghimpunkan semua orang yang terlibat dalam fasa reka bentuk dan pembangunan di satu lokasi di samping menyepadukan semua aspek perindustrian serta mengambil kira maklum balas daripada unit perkhidmatan selepas jualan.
Ujian kebolehpercayaan
Pada fasa awal projek, Rolex menggunakan sumber manusia dan teknikal yang luas untuk memastikan kebolehpercayaan bagi penyelesaian teknikal yang dipilih. Fasa penting ini merangkumi banyak peringkat pemodelan berangka dan prototaip serta ujian yang ketat. Semasa pembangunan produk baharu, syarikat ini menggunakan teknologi yang eksklusif untuk mempercepat penuaan komponen.
Dari fasa prototaip hingga pemasangan
Selain fasa reka bentuk dan prototaip, Acacias juga mengendalikan operasi pemasangan akhir dan ujian Kawalan Superlative.
Fasa pemasangan akhir menghimpunkan pelbagai komponen jam tangan yang dihasilkan di tiga tapak Rolex yang lain: memasang permukaan dan jarum pada gerakan, memasang penutup pada gerakan dan memasang rantai. Operasi ini dilakukan dengan tangan.
Langkah ini meliputi sejumlah besar langkah kawalan estetik dan kesamabentukan. Langkah ini juga melibatkan pendaftaran nombor siri gerakan, penutup dan permukaan dalam pangkalan data berpusat, iaitu satu langkah penting bagi memudahkan pengesanan produk di seluruh dunia.
Pensijilan Superlative Chronometer
Selepas pemasangan, pensijilan Superlative Chronometer yang eksklusif untuk Rolex, terdiri daripada proses pemeriksaan untuk menjamin bidang prestasi utama yang mungkin terganggu semasa proses pembuatan – ketepatan, rizab kuasa, kekalisan air dan gerakan automatik.
Semua ujian dijalankan selepas gerakan dipasang dengan penutup untuk memastikan bahawa keadaan itu persis dengan tika jam tangan itu akan dipakai oleh pemiliknya. Ujian Kawalan Superlative ini dijalankan mengikut metodologi eksklusif yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi terautomasi sepenuhnya yang dibangunkan oleh Rolex.
Kriteria toleransi adalah lebih ketat daripada pensijilan rasmi berkenaan dengan sisihan kadar purata, iaitu ketepatan harian seperti yang dilihat oleh pemakai. Sisihan untuk Superlative Chronometer Rolex tidak boleh melebihi −2/+2 saat sehari, selepas penutup dipasang, berbanding dengan −4/+6 saat sehari yang dikehendaki oleh Institut Pengujian Kronometer Rasmi Switzerland (COSC) untuk gerakan sahaja.
Kekalisan air setiap jam tangan diuji di dalam tangki hiperbarik. Jam tangan dijamin kalis air hingga kedalaman 100 meter (330 kaki) diuji pada tekanan air yang setara dengan kedalaman yang diperakui ditambah 10 peratus, manakala jam tangan penyelam – kalis air hingga 300, 1,220, 3,900 dan 11,000 meter (1,000, 4,000, 12,800 dan 36,090 kaki) – diuji dengan margin keselamatan tambahan sebanyak 25 peratus, seperti yang dikehendaki oleh standard untuk jam tangan ini. Ujian air dilakukan mengikut metodologi eksklusif yang dibangunkan oleh Rolex untuk mendapatkan keputusan yang sangat tepat dan boleh dipercayai.
Selepas berjaya melepasi ujian Kawalan Superlative, setiap jam tangan menerima mohor hijau dan sentiasa disertakan jaminan lima tahun antarabangsa.
Pusat latihan
Pusat Latihan Rolex dikhususkan untuk pembangunan bakat dan pekerja, sekali gus memudahkan pemindahan ilmu antara generasi. Terletak di Geneva berhampiran dengan ibu pejabat dunia Rolex, pusat ini menyediakan kursus bagi pekerja dan pengurus syarikat serta latihan untuk perantis, dengan matlamat untuk mengabadikan segala pengetahuan Rolex. Matlamat syarikat ini adalah untuk menyampaikan kemahiran dan pengetahuan yang unggul kepada generasi muda.
Pengasas Rolex, Hans Wilsdorf, ingin memastikan kejayaan komersial jenama dan juga kesejahteraan pekerjanya. Pusat Latihan mengabadikan falsafah ini dengan menyampaikan warisan Rolex melalui latihan dan pembangunan setiap individu. Usaha ini mengukuhkan lagi kedudukan Rolex sebagai suri teladan dan sumber inspirasi untuk generasi kini dan generasi akan datang.