Tapak Bienne yang terletak di kaki pergunungan Jura di daerah Berne, Switzerland, dikhaskan sepenuhnya untuk membangunkan dan mengeluarkan gerakan Rolex. Di sini, komponen gerakan – dari 200 hingga hampir 400 untuk kaliber yang paling kompleks – dihasilkan dengan teliti, kemudian dipasang dengan tangan dan diperiksa dengan ketat. Sambungan baharu kepada bangunan pengeluaran telah dibuka pada tahun 2022.
Rolex mengeluarkan sendiri plat utama dan titi gerakan serta semua komponen strategik: bolosan – termasuk bolosan Chronergy yang dipatenkan – roda imbang, pegas rambut Parachrom dan Syloxi yang dipatenkan, serta penyerap kejutan Paraflex. Kepelbagaian komponen yang direka, dihasilkan dan sering dipatenkan menunjukkan contoh autonomi yang jarang berlaku dan seterusnya membuktikan tahap kepakaran pembuatan jam jenama ini.
Dalam dunia mikroteknologi dan mikromekanik ini, toleransi pembuatan hanyalah beberapa mikron – dan kadangkala sepersepuluh mikron dalam kes yang paling ketat. Untuk mencapai darjah ketepatan ini, banyak sumber pengeluaran telah diperkenalkan, termasuk bilik bersih dan zon persekitaran terkawal.
Tanpa mengira saiz dan fungsi tambahan yang ditawarkan, semua gerakan Rolex dibina dengan seni bina yang serupa: jaminan keseragaman estetik, prestasi dan kebolehpercayaan kronometri, yang juga memudahkan penyenggaraan oleh unit perkhidmatan selepas jualan.
Superlative chronometer
Kefungsian gerakan mekanikal yang tepat bergantung pada ketepatan pembuatan setiap bahagian serta pemasangan dan interaksi yang sempurna. Setiap gerakan yang telah siap diuji oleh COSC (Institut Pengujian Kronometer Rasmi Switzerland), sebuah organisasi bebas yang mengukur dan mengawal ketepatan gerakan jam tangan dalam kedudukan berbeza dan pada suhu berbeza mengikut standard antarabangsa. Gerakan yang melepasi ujian drastik ini dan memenuhi kriteria kelayakan akan menerima sijil kronometer.
Selepas Bienne, jam tangan kembali ke Acacias. Di sini, selepas penutup dipasang pada gerakan, setiap jam tangan yang dipasang menjalani satu siri kawalan akhir khas yang dijalankan oleh Rolex di makmalnya sendiri, dan mengikut kriterianya sendiri. Protokol ini menjamin prestasi superlatif pada pergelangan tangan dari segi ketepatan, rizab kuasa, kekalisan air dan gerakan automatik, yang membolehkan jam tangan menerima status Superlative Chronometer.