Lexi Thompson
Bakat muda
Lexi Thompson menjadi tokoh terkemuka golf profesional wanita selama lebih sedekad kerana bakat luar biasa dan sumbangan pentingnya kepada sukan itu.
Semangat yang jitu
Lexi Thompson ialah satu daripada nama yang terkenal dalam golf wanita.
Terkenal dengan pukulan jauh yang mengagumkan, warga Amerika itu diraikan kerana permainannya yang hebat dan semangat berdaya saing yang tinggi.
Bintang acara wanita
Perjalanan golf Lexi Thompson bermula di Florida apabila beliau mempamerkan bakat luar biasa dari umur setahun jagung.
Pada 2007, ketika berumur 12 tahun, beliau menjadi pemain termuda pada masa itu yang layak ke Terbuka Wanita Amerika Syarikat. Bergelar profesional pada umur 15 tahun, beliau mencatat satu lagi rekod sebagai pemenang termuda dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) pada umur 16 tahun dengan kemenangan pada 2011 di Navistar LPGA Classic. Sorotan kerjayanya merangkumi Kejohanan Chevron 2014 sebagai kejohanan utama pertamanya dan mengutip 11 kemenangan Tur LPGA. Pada 2017, beliau mengungguli Perlumbaan ke CME Globe, iaitu pertandingan mata sepanjang musim Tur LPGA dan memenangi Piala Vare dengan purata markah terendah. Dari 2013 hingga 2019, Thompson memenangi sekurang-kurangnya satu kejohanan setiap tahun, lantas membuktikan keupayaannya beraksi secara konsisten pada peringkat tertinggi.
Selain kejayaan individu, Thompson telah menjadi pemain utama pada Piala Solheim yang mewakili Amerika Syarikat sebanyak tujuh kali pada pertandingan berpasukan wanita terkemuka dan menjulang trofi itu sebanyak tiga kali. Beliau juga mewakili Amerika Syarikat pada Sukan Olimpik Rio dan Tokyo.
Kerjaya Thompson dipenuhi dengan kejayaan awal dan kecemerlangan yang berterusan. Beliau telah membuktikan dirinya sebagai seorang daripada pemain golf paling berjaya dalam generasinya.
Lexi Thompson menjadi Testimoni Rolex pada 2010.
Teruskan meneroka