Jaminan bahawa setiap jam tangan meninggalkan bengkel dengan ketepatan yang diperakui antara –2 dan +2 saat variasi setiap hari merupakan pencapaian yang jarang berlaku dalam pasaran jam tangan mekanikal.
Kecemerlangan sedemikian melibatkan usaha penyelidikan melangkaui kronometri itu sendiri untuk menggabungkan keseluruhan seni penghasilan kronometer.
Itulah sebabnya Rolex sentiasa berusaha untuk meluaskan skop disiplin ini dengan mempertimbangkan setiap komponen gerakan secara terperinci, meliputi reka bentuk, bahan serta interaksi, rintangan dan juga proses pembuatan bahan. Akhirnya, keseluruhan penciptaan jam tangan dari mula hingga produk akhir, berusaha ke arah matlamat ketepatan ini.
Kepada pecahan saat yang terdekat
Dua puluh tahun yang lalu, skala pengukuran yang digunakan di makmal Rolex untuk menilai ketepatan jam tangan telah ditentukur kepada sisihan satu saat sehari. Kini, pakar kronometri Rolex menjalankan kajian mereka dalam lingkungan sepersepuluh saat sisihan setiap hari.
Ketepatan setiap jam tangan diperiksa menggunakan protokol ujian yang menentukan perbezaan antara masa yang berlalu dengan masa yang ditunjukkan oleh jam tangan antara dua detik yang ditetapkan, yang merujuk masa mutlak. Untuk memastikan ketepatan keputusan, fasa semasa jarum bergerak dan kekal pegun diambil kira, memandangkan jarum saat kekal pegun selama 115 milisaat antara setiap langkah. Pengabaian masa jeda ini akan mengurangkan ketepatan keputusan.