Mencipta sebuah legasi
Terkenal dengan gaya, keanggunan dan kerendahan hatinya, di dalam dan di luar gelanggang tenis, Roger Federer mempunyai impak yang begitu hebat terhadap permainan dan menjadi salah seorang atlet paling berjaya dalam generasinya.
Sebenarnya, saya harus bekerja keras untuk menghasilkan permainan yang bermutu.
Roger Federer
Dari gelanggang tanah liat Switzerland, muncul seorang genius yang kehadirannnya akan membentuk semula sukan tenis.
Roger Federer, dengan raket di tangan, mengubah cabaran menjadi peluang untuk menetapkan pencapaian, menyempurnakan permainan yang memikat jutaan orang. Perjalanannya, diselangi dengan pelbagai kejayaan – lelaki pertama yang memenangi 20 gelaran perseorangan Grand Slam®, enam trofi Kejohanan Akhir ATP, dua pingat Olimpik, kemenangan Piala Davis bersama Switzerland dan 310 minggu sebagai pemain di kedudukan No. 1 dunia – berserta dengan tingkah laku sukannya yang patut dicontohi, memanifestasikan legasi kecemerlangan yang melangkaui sukan itu. Di luar gelanggang, usaha altruistiknya seiring dengan kebijakannya di gelanggang, menjelmakan inti pati seorang juara sejati yang mahkotanya diperoleh melalui ketabahan, integriti dan keinginan yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan inspirasi.
Dilahirkan pada 1981, Roger Federer memulakan perjalanan tenisnya pada usia lapan tahun, meniti kedudukan dunia dengan cepat dan menjadi pemain profesional pada 1998.
Gelaran Grand Slam® pertamanya pada 2003 di Kejohanan Wimbledon menandakan sebuah permulaan masyhur yang gemilang, yang dicirikan oleh usaha mengejar kesempurnaan tanpa henti serta pelbagai pencapaian yang tiada tandingan. Dengan 20 gelaran perseorangan Grand Slam® , termasuk rekod lapan mahkota Wimbledon, Federer akan selama-lamanya disanjung kerana gaya permainannya yang elegan serta konsistensi yang luar biasa. Namun, lebih daripada ini, beliau dipuja oleh peminat dan dihormati oleh pesaing kerana bakat semula jadi dan keazaman beliau untuk sentiasa mencabar kemampuan diri. Secara ringkasnya, beliau menjadi contoh teladan untuk dunia sukan yang lebih luas. Bagi mengiktiraf kerjaya yang mengagumkan dan pelbagai sumbangan kepada sukan ini di dalam dan di luar gelanggang, Federer telah disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa pada tahun 2026.
Pada 2001, Federer bekerjasama dengan Rolex, sebuah pakatan yang mencerminkan nilai kecemerlangan dan ketepatan yang dikongsi bersama mereka. Melalui hubungan yang berkekalan ini, Federer telah menjadi duta global untuk jenama yang melambangkan kemuncak pencapaian dalam sukan tenis.
Kerjaya Federer ialah bukti bakat luar biasa, dedikasi dan keazaman untuk mengejar kehebatan beliau yang tidak kenal lelah.