Dawa Yangzum Sherpa
Pendaki dan malim gunung perintis
Dawa Yangzum Sherpa ialah perintis pendaki gunung Nepal yang terkenal dengan pencapaian besar dalam pendakian altitud tinggi.
Saya tidak ada orang untuk dicontohi dan kadang-kadang ragu sama ada saya mampu melakukannya. Semoga kejayaan kecil saya akan memberikan inspirasi kepada gadis-gadis lain supaya mengejar impian mereka.
Dawa Yangzum Sherpa
Meneroka ketinggian baharu
Dawa Yangzum Sherpa telah membuktikan dirinya sebagai tokoh terkemuka dalam dunia pendakian gunung, mengatasi halangan dan menetapkan standard baharu untuk pendaki di seluruh dunia.
Sebagai wanita Nepal pertama yang menjadi malim gunung bertauliah pada peringkat antarabangsa, beliau telah memainkan peranan penting dalam mempamerkan keupayaan pendaki wanita di beberapa puncak tertinggi di dunia.
Perjalanan penuh keberanian
Minat Dawa terhadap pendakian bermula di kampung halamannya di Lembah Rolwaling, Nepal.
Nama beliau mula menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti pendaki gunung kerana menjadi wanita Nepal pertama yang ditauliahkan sebagai malim gunung Persekutuan Persatuan Malim Gunung Antarabangsa pada 2017, sekali gus membuktikan kemahiran dan pengetahuan mendaki gunungnya yang luar biasa. Pendakiannya di K2 pada 2014 amat mencuri perhatian kerana beliau merupakan sebahagian daripada pasukan semua wanita pertama dari Nepal yang mendaki gunung itu dan merupakan wanita termuda yang mencapai puncak pada waktu itu. Pada 2024, Dawa meraih satu lagi pencapaian luar biasa apabila menjadi wanita Nepal pertama yang mendaki kesemua 14 gunung setinggi 8,000 meter di dunia yang berakhir dengan puncak Shishapangma.
Beliau mendaki Gunung Everest pada kali pertama semasa berusia 21 tahun pada 2012 dan sejak itu, telah mendaki gunung itu beberapa kali. Pada 2019, beliau melengkapkan pendakian pantas Makalu dalam masa 21 jam sahaja, yang mempamerkan ketahanan dan kemahirannya yang luar biasa. Dawa terus mengatasi halangan dengan menjadi wanita Nepal pertama yang mendaki puncak Annapurna I tanpa tangki oksigen pada 2021, dan kemudian pada tahun itu, menjadi wanita pertama yang mendaki puncak Manaslu pada musim luruh. Pada 2022, beliau menambahkan satu lagi rekod dengan menjadi wanita Nepal pertama yang mendaki puncak Broad Peak.
Dawa ialah pendukung tegar kaum wanita dalam pendakian gunung dan pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, beliau menganjurkan kursus latihan wanita muda Nepal dalam teknik pendakian altitud tinggi, dengan harapan dapat menggalakkan mereka agar meneruskan kerjaya ini.
Beliau menjadi Testimoni Rolex pada 2022.
Teruskan meneroka