
Zendaya
Pelakon serba boleh dan berpengaruh
Pelakon dan penerbit yang memenangi Anugerah Emmy, Zendaya, merupakan antara tokoh terhebat dan berpengaruh dalam dunia hiburan kontemporari.

Menjadi contoh generasi
Kehadiran Zendaya di layar perak dan di sebalik tabir yang dinamik, digabungkan dengan citra tersendiri, telah mengangkat namanya dalam industri filem dan televisyen.

Tokoh kreatif terkemuka
Zendaya Maree Stoermer Coleman, dikenali secara profesional sebagai Zendaya, ialah seorang pelakon, penyanyi dan penerbit Amerika yang kerjayanya merangkumi televisyen, filem, fesyen dan muzik. Dilahirkan dan dibesarkan di California, beliau memulakan kerjaya di Saluran Disney yang mula-mula mengembangkan bakat semula jadi dan karisma lakonannya.
Zendaya beralih kepada peranan yang lebih matang dengan kesan yang ketara. Lakonannya sebagai Rue Bennett dalam Euphoria HBO (2019 hingga sekarang) mendapat pujian dan dua Anugerah Emmy Primetime, menjadikannya pelakon termuda yang menang sebanyak dua kali dalam sejarah Emmy. Beliau turut diiktiraf kerana peranannya sebagai MJ dalam francais Spider-Man Marvel serta drama romantik Malcolm & Marie (2021) dan Challengers (2024). Beliau melebarkan kerjayanya dengan watak Chani dalam filem Dune bersama dengan Timothée Chalamet, arahan Denis Villeneuve , antara siri filem paling terkenal dalam dekad ini.

Kerjaya Zendaya terus berkembang dengan projek yang menekankan bakatnya yang serba boleh dan inti pati budayanya. Pada 2026, beliau akan membintangi filem Christopher Nolan yang dinanti-nantikan, The Odyssey, siri ketiga Dune, Spider-Man: Brand New Day serta Shrek 5 dan The Drama.
Di luar skrin, Zendaya terkenal dengan sokongannya terhadap isu keadilan bangsa, kesaksamaan jantina dan kesihatan mental. Keterbukaan, integriti dan komitmen beliau untuk memperkasakan orang lain telah menjadikannya suri teladan, yang berjuang di luar filem dan televisyen. Beliau juga telah mencipta nama sebagai ikon fesyen global, lantaran kerjasamanya dengan pereka terkemuka.
Dengan mengimbangi kesenian dengan keabadian, Zendaya telah menjadi seorang daripada bakat yang paling dihormati dalam generasinya, yang memiliki gabungan tarikan komersial dan prestij yang jarang ditemukan. Dinobatkan oleh majalah Time sebagai seorang daripada 100 insan paling berpengaruh di dunia, beliau terus mengilhami khalayak dunia melalui kecemerlangan seni dan komitmennya terhadap keaslian.
Impaknya yang berkekalan bukan sahaja terletak pada bakatnya, malah visi beliau: seniwati yang terus meluaskan sempadan penceritaan.
Zendaya menjadi Testimoni Rolex pada 2025.
