Pandangan udara menegak kapal layar yang sedang berlumba dalam Perlumbaan Laut Tengah Rolex berhampiran Pelabuhan Besar Valletta.

Perlumbaan Laut Tengah Rolex

Sebagai antara perlumbaan laut lepas paling berprestij di dunia, Perlumbaan Laut Tengah Rolex benar-benar menguji kemahiran navigasi dengan laluan mencabar di setiap belokan yang memerlukan persediaan yang rapi.

Penaja Perdana sejak 2002
Syot aksi kapal lumba Balthasar yang menyendeng semasa Perlumbaan Laut Tengah Rolex.

Cabaran luar pesisir terhebat di Mediterranean

Rolex telah menjadi Penaja Perdana Perlumbaan Laut Tengah Rolex sejak 2002.

Saban tahun, perlumbaan ini mengukuhkan reputasi sebagai antara perlumbaan luar pesisir yang paling mencabar dari segi teknikal dan taktikal. Laluan perlumbaan ini menyajikan pemandangan yang memukau ketika para kru mengemudi bot paling pantas dan canggih dengan panjang melebihi 30 kaki (9 meter) mengelilingi Sicily sejauh 606 batu nautika (1,122 kilometer) mengikut arah lawan jam.

Laluan indah namun mencabar

Perlumbaan Laut Tengah Rolex yang dianjurkan oleh Kelab Kapal Layar Diraja Malta ini bermula dan berakhir di Pelabuhan Besar, Valletta, iaitu antara pelabuhan semula jadi paling mengagumkan di Eropah yang dikelilingi kubu purba Malta yang bersejarah. Laluan perlumbaan ini merentasi arus pasang surut di Selat Messina, perubahan angin daripada gunung berapi aktif Etna dan Stromboli serta gugusan kepulauan Aeolia, Egadi dan Pantelleria sebelum kembali ke Malta untuk pecutan terakhir.

Kapal lumba berlayar hitam sedang melintasi latar langit Valletta, Malta.
Kapal lumba sedang belayar ketika matahari terbenam berlatarkan gunung berapi Stromboli.

Pada 1968, perlumbaan ini lahir daripada persaingan persahabatan antara pelayar Britain, Alan Green dan Jimmy White, dengan pelayar Malta, Paul dan John Ripard. Green dan White mencadangkan laluan yang lebih panjang berbanding dengan laluan biasa di rantau tersebut, manakala Paul Ripard menegaskan agar perlumbaan ini berpusat di Malta dengan titik mula dan tamat di negara itu. Dari situlah tercetusnya pelayaran mengelilingi Sicily. Edisi sulung perlumbaan ini hanya disertai lapan bot, namun kemenangan berpihak kepada bot terkecil, Josian, yang diketuai oleh pengasas bersama, John Ripard.

Kini, jumlah penyertaan armada ini sering melebihi 100 kapal layar dari lebih 25 negara termasuklah kapal layar Maxi yang dikendalikan oleh kru profesional dan peserta Corinthian (amatur) dengan bot yang lebih kecil.

Testimoni Rolex, Paul Cayard, seorang tokoh terkemuka dalam perlumbaan regata dan luar pesisir, mengagumi keindahan laluan perlumbaan ini yang menurutnya “antara yang terindah yang dapat anda bayangkan. Perlumbaan ini amat menguji kemahiran, namun ganjaran penyertaan begitu memuaskan”.