Kejohanan Aldar Abu Dhabi telah berkembang daripada sebuah kejohanan golf perintis yang diadakan di Semenanjung Arab menjadi antara minggu paling penting dalam kalendar golf.
Rolex merupakan Penjaga Masa Rasmi bagi kejohanan berprestij ini yang merupakan satu daripada lima acara utama Jelajah DP World yang membentuk Siri Rolex. Siri ini dilancarkan pada 2017 bersempena ulang tahun ke-20 perkongsian Rolex dengan jelajah tersebut yang dahulu dikenali sebagai Jelajah Eropah.
Jelajah DP World pertama kali diadakan di Abu Dhabi pada 2006 dan kejohanan tersebut dinaik taraf kepada status Siri Rolex pada 2019, yang mencerminkan kedudukan sebagai satu daripada acara paling berprestij dalam jelajah itu. Pada 2024, kejohanan ini beralih daripada slot biasa pada awal musim bulan Januari untuk menjadi acara kedua terakhir tahun serta pusingan pembukaan bagi Play-Off Jelajah DP World.
Sejak tahun 2022, kejohanan ini telah diadakan di Kelab Golf Tepi Laut Yas di Pulau Yas. Reka bentuk padang golf tepi laut yang menerima tiupan angin Teluk, padang terbuka, rumput yang padat dan kurang geseran menuntut kreativiti, pengurusan permainan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah.
Kejohanan Aldar Abu Dhabi ialah tonggak utama golf profesional di Timur Tengah. Senarai 70 pemain terbaik yang layak berdasarkan kedudukan Perlumbaan ke Dubai akan berentap, dengan 50 pemain teratas mara ke kejohanan penutup musim, iaitu Kejohanan Jelajah DP World di Dubai. Setiap kedudukan memberikan habuan besar dalam bentuk wang hadiah dan mata yang menentukan penerima Trofi Harry Vardon sebagai Pemain Nombor Satu Eropah.
Testimoni Rolex, Martin Kaymer, ialah pemain paling berjaya dalam kejohanan ini dengan tiga kemenangan, termasuk mencatatkan rekod dengan beza lapan pukulan yang mengagumkan pada 2011, lantas meraih kedudukan No. 1 Dunia.