Teatro alla Scala di Milan melakar sejarah teragung sebagai pusat opera dan terus menjadi antara rumah opera yang paling berpengaruh di dunia.
Rolex telah menjadi Rakan Kongsi Utama dan Jam Tangan Eksklusif La Scala sejak tahun 2006, yang menunjukkan komitmen bersama terhadap seni persembahan dan pemeliharaan warisan budaya.
La Scala dibina pada akhir abad ke-18, semasa zaman kegemilangan opera. La Scala telah membentuk evolusi disiplin dan kekal sebagai institusi utama dalam seni persembahan. Rumah opera ini terkenal dengan penontonnya, yang sememangnya paling menghayati dan gamat di dunia.
Pentas ini telah melonjakkan kerjaya beberapa penyanyi, konduktor dan komposer terhebat dalam sejarah, termasuklah Verdi dan Puccini serta penyanyi opera tersohor, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai arena opera yang paling bersejarah dan berprestij.
Diperkenankan oleh Maharani Austria, Maria Theresa, dan direka bentuk oleh arkitek neoklasik ulung, Giuseppe Piermarini, Teatro alla Scala telah dirasmikan pada tahun 1778. Sejak tahun-tahun awal penubuhan, arena ini menjadi tumpuan utama opera Itali dan tempat kegemaran para komposer terhebat pada masa itu seperti Rossini, Donizetti dan Verdi.
La Scala menjadi pentas bagi pelbagai tayangan perdana penting dan persembahan bersejarah yang telah membentuk repertoir opera. Karya seperti Norma oleh Bellini, Otello dan Falstaff oleh Verdi serta Madama Butterfly oleh Puccini dipersembahkan untuk kali pertama di sini.
Terkenal dengan ciri akustik dan kemewahan auditorium merah dan emas, teater ini telah menjalani pengubahsuaian besar-besaran dari tahun 2002 hingga 2004, yang menyepadukan teknologi pentas moden di samping memelihara seni bina bersejarah. Hari ini, La Scala terus menarik bakat terkemuka dunia dan mengimbangi tradisi dengan inovasi, mempersembahkan produksi baharu bersama karya yang mantap, serta menggabungkan teknik pementasan kontemporari dan kolaborasi antarabangsa.
Pembukaan musim tahunan pada 7 Disember, Perayaan Saint Ambrose di Milan, merupakan acara penting dalam kalendar budaya antarabangsa. Acara yang disiarkan secara global ini mencerminkan kesinambungan dan pembaharuan.
Muzik adalah sumber emosi sejagat yang merentasi sempadan, budaya dan generasi.
Temui lebih lanjut