Pemandu berdaya tahan
Nyck de Vries telah mencipta nama dalam pelbagai disiplin sukan permotoran melalui paduan prestasi strategik dengan pengetahuan teknikal.
Go-kart junior dan lumba kereta satu tempat duduk – Nyck de Vries telah mengharungi kerjaya pemanduan yang pelbagai dan berjaya, namun paling menyerlah dalam perlumbaan ketahanan. Pencapaian terbesarnya setakat ini ialah kemenangan di 24 Jam di Le Mans pada tahun 2026.
Dilahirkan di Belanda pada tahun 1995, Nyck de Vries mula bermain go-kart pada usia muda dan mendaki kedudukan dengan pantas serta menarik perhatian dengan ketepatan dan kematangannya. Beliau memenangi Kejohanan Dunia Go-Kart CIK-FIA berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011 sebelum beralih kepada lumba kereta satu tempat duduk. Selepas beberapa musim dalam perlumbaan formula junior, beliau memenangi Kejohanan FIA Formula 2™ 2019, iaitu siri persediaan utama untuk Formula 1®. Pada tahun yang sama, de Vries mula menempah nama dalam perlumbaan ketahanan, membantu Racing Team Nederland merangkul kemenangan sulung dalam Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (WEC) kelas LMP2, ketika acara 6 Jam di Fuji. Kemahirannya yang serba boleh kian menyerlah apabila memenangi Kejohanan Dunia Formula E 2020–21 bersama Mercedes-EQ.
De Vries meraih beberapa kejayaan dalam Formula 1®. Selepas menjadi pemandu penguji untuk pelbagai pasukan, pada tahun 2022, beliau dipanggil pada saat-saat akhir untuk membuat penampilan sulung yang gah apabila memberikan mata untuk Williams semasa Grand Prix Itali, kemudian bertanding untuk pasukan AlphaTauri pada musim berikutnya.
Sejak kembali ke perlumbaan ketahanan pada tahun 2024, beliau telah meraih kejayaan di pentas global bersama TOYOTA RACING dalam kelas Hypercar terkemuka. Pada tahun itu, beliau memenangi perlumbaan 6 Jam di Imola dan mendapat tempat kedua di Le Mans serta membantu pasukan itu memenangi gelaran Pengeluar Kejohanan Hypercar WEC FIA. Pada tahun 2025, beliau mengungguli 8 Jam Bahrain dan pada Jun 2026, telah menjuarai Le Mans dalam edisi ke-94 perlumbaan ketahanan paling terkenal di dunia itu.
Nyck de Vries menjadi Testimoni Rolex pada tahun 2026.