Explorer dan Explorer II
Makmal dunia sebenarOyster Perpetual Explorer dan juga Explorer II melambangkan semangat pengembaraan dan usaha untuk mengatasi kemampuan diri. Direka bentuk untuk berfungsi walaupun dalam persekitaran yang amat mencabar, model ini menonjol sebagai penanda aras pembuatan jam kerana keteguhan, keterbacaan dan kebolehpercayaan. Prestasi model ini telah diuji pada pergelangan tangan penjelajah dan saintis yang telah menjadikan dunia sebagai makmal dunia sebenar.
Kawasan penerokaan pertama
Bermula tahun 1930-an, Rolex mengamanahkan jam tangan Oyster kepada penjelajah perintis. Dari kawasan kutub ke pergunungan tertinggi, jam tangan ini mengiringi pelbagai ekspedisi dalam keadaan cuaca yang mencabar. Maklum balas praktikal yang diberikan oleh para pengembara terbukti penting dalam pengoptimuman dan peningkatan kebolehpercayaan jam tangan Rolex yang direka bentuk untuk penerokaan.
1930
Kelahiran Explorer
Pada 29 Mei 1953, jam 11:30 pagi, Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay, ahli ekspedisi British yang diketuai oleh Sir John Hunt dan diiringi oleh kronometer Oyster Perpetual, merupakan orang pertama yang sampai di puncak Everest setinggi 8,848 meter (29,029 kaki).
Berikutan pencapaian bersejarah ini, Rolex memperkenalkan Explorer, antara jam tangan alat pertama Rolex. Direka bentuk untuk keterbacaan yang optimum, model ini menonjol dengan penanda jam yang tersendiri: angka pada pukul 3, 6 dan 9, penanda baton dan segi tiga pada pukul 12.
1953
Ketepatan di puncak
Satu ekspedisi Itali yang dilengkapi jam tangan Oyster Perpetual Explorer telah mendaki gunung kedua tertinggi di dunia, K2 (8,611 meter/28,251 kaki). Achille Compagnoni, antara lelaki yang sampai di puncak, kemudian menulis: “Jam tangan Rolex anda bersama saya sepanjang ekspedisi dan berfungsi dengan sempurna, walaupun melebihi paras 8,000 meter”.
1954
Prestasi di tempat tinggi
Puncak ketiga tertinggi di dunia, Kanchenjunga (8,586 meter/28,169 kaki), telah ditawan untuk kali pertama. Beberapa ahli ekspedisi British dilengkapi jam tangan Rolex. Antara mereka ialah ahli geologi dan pendaki gunung, George C. Band, yang mengimbas kembali: “Saya memakai Rolex Explorer saya sepanjang ekspedisi ini [...] memberikan bacaan masa yang sangat baik, berputar dengan sendirinya dan kelihatan tahan lasak sekali.”
1955
Cabaran jauh ke utara
Rolex melengkapi ahli Ekspedisi Trans-Artik British dengan jam tangan Explorer. Perjalanan mereka selama 16 bulan yang berjumlah hampir 6,000 kilometer (3,728 batu) merentasi Point Barrow di Alaska ke Spitsbergen di Norway, yang merupakan lintasan darat pertama di Lautan Artik. Diketuai oleh Wally Herbert, bersama Allan Gill, Kenneth Hedges dan Roy Koerner, ekspedisi ke Kutub Utara ini berakhir pada 6 April 1969 selepas musim sejuk dihabiskan dengan berkhemah di atas hanyutan ais.
1969
Explorer II, penanda aras baharu
Explorer II boleh dikenali menerusi jarum 24 jam tambahan berwarna jingga dan bezel tetap bersenggat 24 jam, yang membolehkan pemakai membezakan siang dan malam. Jam ini direka sebagai panduan penjelajah dan saintis sebaik mungkin apabila cahaya semakin malap. Explorer II juga memaparkan tarikh, satu ciri penting apabila seseorang tidak dapat membezakan siang dan malam lagi.
1971
Kuasa alam
Ahli volkanologi terkenal, Haroun Tazieff, menjalankan penyelidikannya dalam keadaan yang diselubungi suhu ekstrem dan gas yang mengakis. Explorer II miliknya yang dipakai di luar sut termal mengiringinya ke persekitaran gunung berapi yang dahsyat. Pada tahun 1972, beliau memberitahu Rolex: “Jam tangan saya baru sahaja lulus dengan cemerlang ujian gunung berapi yang pertama dan begitu mencabar, dengan gas yang sangat agresif di Gunung Etna. Jam ini berfungsi dengan sempurna, tidak seperti jam tangan rakan sepasukan yang lain.”
1972
Gerakan baharu, ciri baharu
Explorer II mencatat satu peristiwa penting dalam pembangunan teknikal. Terdapat kristal nilam yang lebih tahan calar serta gerakan baharu yang membolehkan jarum jam dilaraskan secara berasingan daripada jarum minit dan jarum 24 jam. Inovasi ini membolehkan zon waktu kedua dipaparkan secara serentak, sekali gus mempertingkatkan fungsi jam tangan alat ini.
1982
Menakluki Tiga Kutub
Warga Norway, Erling Kagge, melakar sejarah sebagai orang pertama yang mencapai perkara yang dipanggil ‘tiga keadaan melampau’, juga dikenali sebagai ‘cabaran tiga kutub’: dua Kutub dan puncak Everest. Pada tahun 1990, beliau merentasi Kutub Utara menggunakan ski tanpa sebarang bantuan luar. Pada tahun 1993, beliau sampai di Kutub Selatan selepas lebih 50 hari menempuh jarak sejauh 1,300 kilometer (808 batu) secara solo. Akhirnya, pada tahun 1994, beliau sampai di puncak Everest. Ketiga-tiga kejayaan itu dicapai sambil memakai Explorer II miliknya.
1994
Mengatasi batasan
Ed Viesturs, seorang tokoh terkemuka dalam pendakian gunung altitud tinggi, telah menyempurnakan projek ‘Endeavor 8000’ yang luar biasa yang dilengkapi Explorer II. Pencapaian jangka panjang ini menjadikannya orang Amerika pertama yang mendaki 14 puncak tertinggi di dunia – puncak yang melebihi 8,000 meter (26,247 kaki) – tanpa oksigen tambahan.
Semasa ekspedisi, Explorer II memainkan peranan penting dalam kejayaan saya – malah dalam kelangsungan hidup saya. Masa sememangnya faktor utama untuk saya membuat keputusan.
2005
Keterbacaan yang dipertingkatkan
Mulai tahun 2010, paparan Chromalight telah mempertingkatkan lagi keterbacaan model Explorer dan Explorer II. Bahan pendarkilau yang disadur pada penanda dan jarum jam bersinar putih terang pada siang hari dan memancarkan kilauan biru yang tahan lama ketika gelap bagi memastikan keterbacaan yang jelas dalam keadaan cahaya malap.
2010
Semangat perintis berwajah baharu
Sempena ulang tahun yang ke-40, Explorer II telah menjalani pemodenan yang ketara. Diameter penutup dilebarkan kepada 42 mm, lantas meningkatkan keterbacaan dan menjadikan jam tangan lebih menyerlah di pergelangan tangan. Jarum jam 24 jam berwarna jingga, iaitu ciri khas model asal 1971 yang dihentikan pengeluaran, telah diperkenalkan semula, sekali gus mengukuhkan nilai warisan jam tangan ini. Dilengkapi kaliber 3187, jam tangan ini merangkumi inovasi seperti pegas rambut Parachrom dan penyerap kejutan Paraflex, yang meningkatkan ketahanan terhadap kejutan dan turun naik suhu.
2011
Kehalusan reka bentuk
Dengan penutup berwajah baharu, keterbacaan yang dioptimumkan dan gerakan berprestasi tinggi, Rolex memperkenalkan jam tangan Explorer dan Explorer II generasi baharu. Explorer juga terdapat dalam versi Rolesor kuning, yang menerapkan kehalusan reka bentuk yang mengekalkan ciri warisan sebagai jam tangan alat perintis. Kini komponen Explorer II dikuasakan oleh kaliber 3285, sebuah gerakan yang menggabungkan kemajuan teknologi terkini pembuat ini.
2021
Keterbacaan yang dioptimumkan
Explorer dan Explorer II merupakan jam tangan Rolex pertama yang menampilkan paparan Chromalight yang dioptimumkan. Dicirikan oleh warna putih yang lebih cerah pada waktu siang dan kilauan biru yang lebih tahan lama ketika gelap, bahan pendarkilau baharu itu lama-kelamaan diterapkan dalam model Rolex yang lain.