Victoria Mboko 'mengangkat tabik'

Victoria Mboko

Anggun dan hebat di gelanggang

Setelah mendaki kedudukan junior dan tampil menyerlah dalam Jelajah WTA, Victoria Mboko merupakan antara bakat muda yang paling berpotensi dalam tenis wanita.

Victoria Mboko bermain

Kemunculan yang mengagumkan

Berada di kedudukan ke-333 dunia pada awal tahun 2025, Victoria Mboko mempamerkan rentak yang mengagumkan apabila menamatkan tahun tersebut sebagai seorang daripada hanya dua remaja dalam senarai 20 teratas Ranking WTA. Berbekalkan pukulan ke garisan belakang yang kuat, penguasaan gelanggang yang agresif dan strategi yang bijak, beliau meraih gelaran perseorangan WTA sulung pada Terbuka Kanada ketika berusia 18 tahun yang menggambarkan masa depannya yang cerah.

Trofi Victoria Mboko

Semakin maju dan matang

Dilahirkan pada tahun 2006 di Charlotte, North Carolina dan dibesarkan di Toronto, Kanada, Mboko mula bermain ketika berusia lima tahun. Bekas peserta Akademi Tenis ACE dan kemudian program kebangsaan Tenis Kanada ini berlatih di Pusat Latihan Negara di Montreal, tempat beliau meningkatkan kemahiran, fokus dan kematangannya. Kerjaya junior Mboko merangkumi penampilan separuh akhir perseorangan Grand Slam® pada tahun 2022 semasa Kejohanan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat. Beliau segera menempah nama dalam barisan profesional, memenangi pelbagai gelaran ITF dan menggondol 22 kemenangan berturut-turut tanpa tewas satu set pun, lantas mencatat rekod untuk pemain tenis wanita Kanada.

Victoria Mboko membuat pukulan servis

Kejayaan penting Mboko diraih pada Ogos 2025 apabila memenangi gelaran WTA 1000 berstatus tinggi pertamanya semasa Terbuka Bank Negara (Kanada) di Montreal. Bermain dalam kejohanan yang dihadirinya semasa kecil, beliau mencatat kemenangan luar biasa apabila menewaskan juara Grand Slam® empat kali. Beliau memperoleh satu lagi gelaran pada Terbuka Tenis Hong Kong dan menamatkan tahun itu dengan kedudukan No. 18, yang tertinggi dalam kerjayanya, sekali gus mendapat anugerah Pemain Baharu Terbaik WTA. Beliau membuka tirai 2026 tanpa menoleh ke belakang, mara ke perlawanan akhir Adelaide Antarabangsa, iaitu acara WTA 500, dan meraih kedudukan ke-16 Dunia. Hal ini membuktikan lagi bakatnya untuk bersaing pada peringkat elit untuk tahun-tahun berikutnya.

Berketurunan Congo, Mboko berbangga akan asal usulnya dan menekankan kepentingan keterlihatan dan perwakilan dalam sukan. Perjalanan kejayaan profesional beliau mencerminkan disiplin, daya tahan dan cita-citanya yang menjadi inspirasi bagi generasi atlet seterusnya.

Victoria Mboko menjadi Testimoni Rolex pada tahun 2026.