Kejohanan Cadillac ialah Acara Istimewa terbaharu dalam jadual PGA Tour® yang menandakan kembalinya golf profesional yang telah lama dinanti-nantikan ke lokasi bersejarah, iaitu Blue Monster di Miami, Florida.
Sebagai Penjaga Masa Rasmi PGA Tour® sejak 2007, Rolex menyokong Kejohanan Cadillac sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap sukan golf profesional pada peringkat tertinggi. Perkongsian ini merangkumi keseluruhan kalendar Acara Istimewa yang berprestij dalam jelajah tersebut.
Diadakan di satu daripada lokasi paling bersejarah dalam jelajah tersebut, kejohanan status ulung dibawa ke padang yang pernah menjadi tuan rumah kepada 14 pemain yang tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Golf Dunia sepanjang lebih separuh abad pertandingan golf profesional.
Blue Monster, satu daripada empat padang kejohanan di Kelab Golf Trump National Doral, telah menganjurkan 55 kejohanan PGA Tour® berturut-turut dari tahun 1962 hingga 2016, lantas mengikat hubungan yang paling lama antara sesebuah lokasi dengan jelajah tersebut dalam sejarah sukan golf.
Para legenda yang tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran telah meraih 24 gelaran di padang itu dalam tempoh berkenaan, manakala Testimoni Rolex, Tiger Woods, muncul sebagai pemain paling dominan apabila memenangi empat gelaran antara tahun 2005 hingga 2013. Blue Monster tidak lagi tersenarai dalam jadual jelajah pada 2016 sebelum kembali sebagai Acara Istimewa pada 2026. Secara rasminya, Kejohanan Cadillac merupakan satu kejohanan baharu yang tidak membawa sejarah acara PGA Tour® terdahulu di Doral, sekali gus menandakan lembaran baharu bagi satu daripada lokasi golf yang paling digemari.
Padang ini direka bentuk oleh Dick Wilson pada 1962 sebelum diubah suai secara menyeluruh oleh Gil Hanse dan Jim Wagner pada 2014. Padang ini mempunyai nilai par 72 dengan jarak permainan sejauh 7,077 meter (7,739 ela) serta melibatkan kawasan air di hampir separuh daripada lubang permainan. Terkenal dengan bunker yang dalam, kawasan padang yang beralun dan susun atur yang memberikan ganjaran kepada keputusan berani dengan pertimbangan risiko, Blue Monster menguji keupayaan melakukan pelbagai jenis pukulan. Dengan 700 mata Piala FedEx ditawarkan dalam pertandingan sepanjang musim bagi menentukan juara keseluruhan, inilah antara keputusan terpenting dalam kempen tersebut.