Jemputan Arnold Palmer di Bay Hill Club & Lodge, Orlando, Florida, menghimpunkan ramai pemain handalan PGA Tour®, sekali gus meneruskan legasi seorang juara yang amat berpengaruh dalam sukan ini.
Rolex ialah Penjaga Masa Rasmi Jemputan Arnold Palmer, satu gandingan yang serasi kerana hubungan erat jenama ini dengan sukan golf bermula menerusi jabat tangan antara dua lelaki, yang nama seorang daripadanya diabadikan dalam kejohanan ini. Menerusi kerjasama dengan pembuat jam tangan Switzerland ini pada tahun 1967, yang berteraskan hubungan dengan The Big Three yang terdiri daripada beliau sendiri, Jack Nicklaus dan Gary Player, Palmer telah membantu usaha mempopularkan sukan itu di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada siri Acara Istimewa, kejohanan ini mendapat kedudukan penting dalam kalendar PGA Tour®, dengan penyertaan barisan pemain ternama yang mengukuhkan lagi status kejohanan.
Diwujudkan pada tahun 1966, Jemputan Arnold Palmer berkait rapat dengan pemain golf legenda ini selepas beliau memperoleh Bay Hill pada tahun 1975. Acara ini telah diadakan secara tahunan di sana sejak 1979. Di bawah pimpinan Palmer, kejohanan ini menjadi antara destinasi yang paling disegani dalam siri jelajah tersebut, yang dikenali kerana penyertaan peserta antarabangsa yang hebat serta keadaan padang yang mencabar. Ketepatan, konsistensi dan strategi pukulan sepanjang empat pusingan menjadi faktor yang amat penting kerana terdapat rintangan air, kawasan rumput yang kurang geseran serta pelbagai cabaran lain.
Selama bertahun-tahun, kejohanan ini telah menyaksikan banyak babak yang tidak dapat dilupakan daripada beberapa tokoh terhebat sukan ini, termasuk Tiger Woods, yang memegang rekod dengan lapan kemenangan di Bay Hill. Jemputan Arnold Palmer mengekalkan tradisi turun-temurun serta menghimpunkan generasi pemain untuk bersaing di satu daripada lokasi golf terunggul.