Minggu Pelayaran Tre Golfi merupakan satu temasya lumba layar luar pesisir dan pesisir pantai di Teluk Naples serta perairan Semenanjung Sorrento.
Rolex telah menjadi Jam Tangan Rasmi Minggu Pelayaran Tre Golfi sejak tahun 2022, sebagai sebahagian daripada perkongsian jangka panjang dengan sukan tersebut selama hampir 70 tahun.
Gabungan ketahanan luar pesisir dan perlumbaan teknikal pesisir berlatarkan Teluk Naples yang memukau, menjadikan acara ini unik serta meraih perhatian dalam kalendar lumba layar dunia. Acara yang diadakan pada musim bunga di hemisfera utara ini menyajikan ujian getir yang menuntut kemahiran mengendalikan kapal, kecerdasan taktikal dan juga kelajuan bot.
Regata dei Tre Golfi mendapat nama daripada tiga perairan luas yang dilalui: Teluk Naples, Teluk Gaeta dan Teluk Salerno. Dianjurkan oleh Circolo del Remo e della Vela Italia dan pertama kali diadakan pada awal tahun 1950-an, acara ini merupakan antara perlumbaan luar pesisir yang tertua dan paling digemari dalam dunia pelayaran Itali.
Laluan sepanjang kira-kira 150 batu nautika (280 kilometer) ini membawa armada tersebut ke arah barat laut menuju pulau Ponza, sebelum berpatah balik ke selatan, melintasi Capri serta pulau-pulau kecil Li Galli dan berakhir di Naples. Tidak banyak perlumbaan di dunia yang menggabungkan cabaran kompetitif dengan tontonan visual seumpama ini. Selepas pertandingan luar pesisir, kumpulan kapal itu akan bergerak ke Marina Piccola di Sorrento untuk perlumbaan pesisir pantai selama empat hari yang merangkumi laluan hadap angin, ikut angin dan pesisir, termasuk perlumbaan mengelilingi Capri yang terkenal.