Sail Grand Prix Enel Rio membawakan armada perlumbaan terpantas di dunia ke Amerika Selatan berlatarkan puncak Gunung Sugarloaf dan Corcovado di Rio de Janeiro.
Sebagai Rakan Kongsi Perdana dan Rakan Kongsi Pengasas Rolex SailGP Championship sejak 2019, Rolex memainkan peranan penting untuk membentuk liga ini menjadi antara sukan global yang paling inovatif dan kompetitif.
Sail Grand Prix Enel Rio yang julung kali diadakan pada 2026 menandakan penganjuran pertama kejohanan tersebut di Amerika Selatan. Perlumbaan ini berlangsung di Teluk Guanabara di bawah patung Christ the Redeemer yang tersohor di puncak Corcovado dan lambaian Gunung Sugarloaf dari kejauhan. Laluan perlumbaan yang padat membolehkan penonton di astaka besar melihat katamaran kerajang F50 (50 kaki) meluncur pantas merentasi garisan penamat dari dekat. Iklim dan kemeriahan kota menyemarakkan lagi suasana dan menyuntik keunikan nuansa Brazil dalam perlumbaan tersebut.
Teluk Guanabara merupakan antara arena semula jadi yang hebat dalam sukan dunia. Kedudukan geografi yang terlindung boleh mewujudkan keadaan yang jauh berbeza sepanjang hari perlumbaan. Angin dan arus yang sukar dijangka, perlahan, atau sering berubah arah mengikut bentuk muka bumi sekeliling yang berbatu dan bergunung-ganang merumitkan lagi keadaan. Kru perlu sentiasa menilai semula laluan semasa mengharungi satu daripada lokasi pelayaran yang paling menakjubkan di dunia ini.