Kapal Layar Saint-Tropez merupakan antara acara pelayaran yang terkenal di Mediterranean dan wajib dikunjungi oleh peminat kapal layar klasik.
Rolex, iaitu Jam Tangan Rasmi Kapal Layar Saint-Tropez sejak tahun 2006, menganugerahkan hadiah istimewa, iaitu Trofi Rolex kepada kategori terpilih antara bot klasik.
Dianjurkan oleh Persatuan Nautika Saint-Tropez, regata selama sembilan hari di Riviera Perancis ini menghimpunkan pelayar amatur dan profesional demi menjulang tradisi dan keazaman untuk mengekalkan warisan kapal layar.
Kapal Layar Saint-Tropez begitu istimewa dalam kalendar pelayaran antarabangsa, terkenal dengan keupayaan luar biasa untuk menghimpunkan kapal layar dari era yang berbeza di garisan permulaan yang sama. Acara ini menggabungkan perlumbaan kompetitif dengan elemen budaya maritim yang kuat.
Acara ini bermula pada 1981 apabila satu perlumbaan spontan di Teluk Saint-Tropez mencetuskan regata Nioulargue. Selepas dinamakan semula sebagai Kapal Layar Saint-Tropez pada 1999, acara ini kian berkembang serta mengekalkan semangat setiakawan dan menjunjung tradisi pelayaran. Misi acara ini kekal sama, iaitu memartabatkan warisan pelayaran klasik seiring dengan perkembangan prestasi dan reka bentuk dalam perlumbaan kapal layar kontemporari.
Selama beberapa dekad, acara ini berkembang menjadi regata berbilang hari yang menampilkan kelas kapal layar klasik, kapal lumba IRC moden, kapal layar maxi dan kapal layar persiaran berprestasi. Format perlumbaan dan reka bentuk laluan yang disesuaikan memastikan persaingan yang adil dan sengit bagi pelbagai kategori kapal layar.