Piala Davis merupakan acara tenis berpasukan tahunan terbesar di dunia yang disertai pasukan dari lebih 150 buah negara.
Sebagai rakan kongsi Piala Davis sejak tahun 2007, Rolex telah mengiringi acara tenis lelaki berpasukan antarabangsa terkemuka melalui evolusi terkini.
Sejak diasaskan pada tahun 1900, Piala Davis telah memberikan peluang kepada pemain terbaik dunia untuk melakar nama, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah demi negara mereka. Negara dari seluruh dunia mengambil bahagian, meneruskan tradisi yang telah wujud sejak lebih 120 tahun yang lalu. Pada akhir musim, Pertandingan Akhir 8 Piala Davis mempertemukan tujuh pasukan yang mara dari pusingan kelayakan bersama-sama dengan negara tuan rumah.
Piala Davis diasaskan apabila empat ahli pasukan tenis Universiti Harvard mencabar Great Britain dalam satu pertandingan. Seorang daripada pemain Amerika, Dwight F. Davis, telah merangka format kejohanan dan membeli trofi perak sterling bagi kejohanan itu. Edisi pertama, yang diadakan di Kelab Kriket Longwood di Boston, Massachusetts, telah dimenangi oleh pasukan Amerika 3-0.
Dalam masa dua dekad, inisiatif yang dimulakan oleh pelajar antara dua negara berkembang menjadi sebuah institusi global. Menjelang tahun 1920-an, terdapat lebih daripada 20 buah negara yang kerap bertanding. Era awal menyaksikan persaingan antara Amerika Syarikat, Great Britain dan Australasia, sebelum Perancis memecahkan dominasi tersebut pada tahun 1927.
Persaingan terus berkembang selama beberapa dekad. Pada tahun 2025, 157 buah telah mengambil bahagian, lantas menjadi satu daripada acara sukan yang paling banyak disertai seantero dunia. Sepanjang setiap era tenis lelaki – zaman amatur, era Terbuka, perlawanan moden – Piala Davis telah menjadi kayu ukur kecemerlangan negara yang paling lama bertahan dalam sukan ini.