Terbuka National Bank yang dibawakan oleh Rogers merupakan acara penting dalam kalendar tenis lelaki dan wanita, yang menghimpunkan pemain profesional terbaik untuk pertandingan selama seminggu setiap bulan Ogos.
Rolex merupakan Penjaga Masa Rasmi bagi Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) dan Persatuan Tenis Wanita (WTA) menerusi kerjasama dengan kesemua sembilan acara ATP Masters 1000 dan kesemua 10 acara WTA 1000, termasuk Terbuka National Bank.
Acara ini merupakan satu daripada kejohanan tenis tertua di dunia dengan sejarah melebihi 140 tahun, yang hanya diatasi oleh Kejohanan Wimbledon dan menurut beberapa dakwaan, Terbuka Amerika Syarikat. Pertandingan lelaki merupakan acara wajib ATP Masters 1000, manakala pertandingan wanita merupakan acara wajib WTA 1000, yang bermaksud pemain terkemuka dunia dikehendaki bertanding bagi menjamin persaingan yang berkualiti tinggi.
Terbuka National Bank yang dibawakan oleh Rogers, yang dikenali dalam bahasa Perancis sebagai Omnium Banque Nationale présenté par Rogers, ditubuhkan pada tahun 1881. Kejohanan ini unik di litar global sebagai satu-satunya acara gabungan lelaki dan wanita yang digilirkan antara dua bandar tuan rumah. Pada suatu tahun, pasukan lelaki bertanding di Stadium IGA di Montreal dan pasukan wanita di Stadium Sobeys di Toronto, kemudian tuan rumah pada tahun berikutnya ditukar antara bandar tersebut. Ini merupakan satu daripada enam kejohanan, selain kejohanan di Indian Wells, Miami, Madrid, Rom dan Cincinnati, yang menganjurkan kedua-dua pasukan terbaik lelaki dan wanita dalam minggu yang sama.
Terbuka National Bank berada pada detik penting dalam kalendar tenis kerana menyediakan ujian gelanggang keras yang utama sebelum Terbuka Amerika Syarikat. Rentetan perlawanan di Kanada meningkatkan keyakinan pemain di permukaan gelanggang yang sama yang digunakan dalam Terbuka Amerika Syarikat, sementara gelaran memberikan 1,000 mata ranking yang amat mempengaruhi susunan giliran dan aturan perlawanan di New York kelak.