Terbuka Madrid Mutua yang berlangsung di gelanggang tanah liat terbuka Caja Mágica merupakan kejohanan peringkat tertinggi ATP Masters 1000 dan WTA 1000.
Sebagai Penjaga Masa Rasmi bagi Jelajah Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) sejak 2013 dan Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) sejak 2025, Rolex menyokong Terbuka Madrid Mutua sebagai sebahagian daripada komitmen global terhadap sukan tenis profesional pada setiap peringkat permainan.
Terkenal dengan suasananya, acara ini menggabungkan tenis bertaraf dunia dengan cita rasa Sepanyol serta pengalaman penonton yang dipertingkat menerusi susun atur pelbagai gelanggang di lokasi tersebut.
Kejohanan ini diperkenalkan pada 2002 sebagai acara lelaki di gelanggang keras tertutup. Tujuh tahun kemudian, kejohanan ini diperluas dengan merangkumi kategori wanita dan beralih kepada gelanggang tanah liat terbuka. Sejak itu, kejohanan ini terus berlangsung di kompleks Caja Mágica yang mengagumkan, sebuah arena berkonsep modenis rekaan arkitek Perancis, Dominique Perrault yang menampilkan tiga stadium dengan bumbung boleh laras serta gelanggang yang pernah menjadi saksi kepada pelbagai perlawanan yang cukup bermakna.
Dengan ketinggian lebih 650 meter dari aras laut, Madrid menawarkan keadaan permainan yang unik dalam kejohanan ini. Lokasi dan ketinggian yang unik ini menawarkan cabaran gelanggang tanah liat yang tersendiri kepada para pemain, dengan kelajuan bola yang lebih pantas serta dinamik yang sukar dijangka. Pada 2023, kejohanan ini menggunakan format 12 hari dengan memperluas undian utama kepada 96 pemain bagi acara perseorangan lelaki dan wanita. Perkembangan ini meletakkan kejohanan ini sebaris dengan kejohanan Masters 1000 yang terbesar, iaitu antara acara terpenting dalam kalendar selain kejohanan Grand Slam® dan Pertandingan Akhir ATP Nitto serta mengukuhkan kedudukan sebagai tunjang utama musim gelanggang tanah liat Eropah.