Sebagai bukti bahawa kereta koleksi paling istimewa di dunia bukan sahaja dipelihara dengan sempurna malah turut dipandu sebagaimana tujuan asalnya, Pebble Beach Tour d’Elegance® merupakan acara rali jalan raya ternama yang menampilkan perarakan kenderaan bersejarah.
Rolex merupakan Jam Tangan Rasmi Pebble Beach Tour d'Elegance® dan telah menjadi Rakan Kongsi Persembahan acara ini sejak tahun 2007.
Diadakan pada setiap bulan Ogos, pada hari Khamis semasa Minggu Kereta Klasik Monterey, Jelajah ini dibuka secara eksklusif kepada para peserta Pebble Beach Concours d’Elegance, iaitu pertandingan kereta klasik paling berprestij di dunia.
Jelajah ini dperkenalkan pada tahun 1998 bagi melengkapi Concours dengan meraikan bukan sahaja penampilan kereta bersejarah terbaik di dunia, malah keupayaan kenderaan tersebut untuk dipandu sebagaimana tujuan asalnya. Penyertaan boleh mempengaruhi penghakiman Concours, yang mengiktiraf kenderaan yang mempamerkan keutuhan mekanikal dan keupayaan untuk dipandu secara tulen di samping kualiti estetika.
Perarakan bermula di Pebble Beach Golf Links, melintasi laluan sepanjang kira-kira 112 kilometer (70 batu) yang menyajikan pemandangan pesisir pantai California yang menakjubkan. Ribuan penonton berbaris di sepanjang jalan untuk menyaksikan perarakan kenderaan, yang kebanyakannya berasal dari awal abad ke-20, bergerak menyusuri Highway 1 dan jalan yang berliku di atas tebing Big Sur.