Menggabungkan inovasi dengan tradisi
24 Jam di Le Mans yang dirasmikan pada tahun 1923 merupakan perlumbaan ketahanan paling terkenal di dunia.
Dalam edisi pertama itu, 33 pasukan yang terdiri daripada dua pemandu telah mengambil bahagian. Pada era moden, setiap Jun, lebih 60 kereta dalam tiga kategori – Hypercar, LMP2 dan LMGT3 – bersaing di Litar Sarthe, dengan tiga pemandu bergilir-gilir. Inilah peluang untuk banyak pengeluar terkemuka dan pasukan persendirian mempamerkan kepakaran teknologi mereka.
Setiap pemandu handalan, termasuk yang mahir dalam pertandingan kelajuan, mengimpikan untuk menyahut cabaran dalam perlumbaan yang hebat ini. Acara ini merupakan ujian terunggul terhadap kebolehpercayaan jentera serta stamina fizikal dan mental pemandu. Acara sukan yang unik ini diwujudkan untuk menyumbang kepada pembangunan teknologi dan penyelesaian inovatif demi memburu kecekapan tenaga.
Sejak 2022, 24 Jam di Le Mans dan Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (WEC) telah menggunakan bahan api bio mampan yang diperakui sepenuhnya. Automobile Club de l'Ouest (ACO), penganjur 24 Jam di Le Mans, berazam mahu mencapai keneutralan karbon menjelang 2030. ACO menjalankan projek Misi H24 sepanjang program Perlumbaan Menuju 2030. Hasrat projek itu adalah untuk mencipta kategori yang dikhaskan untuk prototaip berkuasa hidrogen-elektrik di Le Mans menjelang 2028.