Aegean 600

Aegean 600

Aegean 600 ialah perlumbaan luar pesisir yang hebat merentasi Laut Aegea, yang diwujudkan oleh pelayar untuk pelayar.

Jam Tangan Rasmi sejak 2004
Perahu layar berlumba dalam Aegean 600

Mengharungi lautan yang penuh mitos dan legenda

Rolex merupakan Jam Tangan Rasmi Aegean 600, yang menyokong satu daripada lumba layar luar pesisir baharu yang paling menarik, iaitu pelayaran merentasi Laut Aegea yang bermula dan berakhir di bawah bayangan Kuil Poseidon kuno di Cape Sounion, Greece.

Kelab Perlumbaan Luar Pesisir Yunani (HORC), dengan sokongan marina tuan rumah, Olympic Marine, berkongsi visi untuk mewujudkan perlumbaan luar pesisir tahunan yang akan menarik perhatian kepada keindahan dan cabaran beraksi di Laut Aegea, iaitu kawasan perairan yang kaya dengan sejarah pelayaran kuno.

Pengembaraan Aegea

Diadakan kali pertama pada tahun 2021 dan dianjurkan oleh HORC dengan kerjasama pihak berkuasa pentadbiran Wilayah Attica, perlumbaan ini semakin meraih pengiktirafan global atas penganjuran yang luar biasa dan laluan yang indah namun mencabar.

Armada kapal layar menyusuri gelung lawan arah jam sejauh 605 batu nautika (1,120 km) melintasi 23 pulau Aegea – Santorini dan Rhodes di bahagian selatan, kemudian kembali ke Patmos dan Mykonos di utara – sebelum berakhir di titik permulaan.

Laluan ini direka oleh pelumba luar pesisir yang berpengalaman untuk menguji semua kemahiran yang diperlukan oleh pasukan dalam pelayaran sedemikian, termasuk keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah.

Sejak edisi pertama, kira-kira 1,000 pelayar yang mewakili pasukan dari lebih 25 negara telah mengambil bahagian, dengan minat yang kian meningkat saban tahun dari seluruh dunia. Trofi pemenang keseluruhan ialah replika perak tepat bagi sebuah bejana seramik Attic purba dari abad ke-5 SM, satu hadiah yang menggambarkan hubungan mendalam antara perlumbaan ini dengan tamadun yang memberikan nama kepada laut itu.

Belayar mengelilingi boya pada Aegean 600