Pemain perahu layar Amerika, Paul Cayard ialah salah seorang pelayar profesional terkemuka dan paling berjaya. Beliau telah memenangi tujuh kejohanan dunia, menyertai Sukan Olimpik sebanyak dua kali dan Piala Amerika sebanyak tujuh kali. Setelah merentasi lautan luas ratusan ribu batu jauhnya sejak 40 tahun yang lalu, Cayard telah menempuhi pelbagai bahaya alam yang menakutkan. Keserasian dengan laut amat penting untuk menempuhi detik-detik mencabar dan Rolex mengingatkannya akan pengembaraan yang sukar dilupakan.

Ketika saya berusia lapan tahun, ayah saya membina sebuah perahu kayu kecil untuk saya di dalam garaj kami di San Francisco. Tiada seorang pun ahli keluarga saya pernah berlayar, namun saya diperkenalkan kepada sukan ini oleh seorang rakan sekolah semasa berumur tujuh tahun, dan ayah sedar betapa saya menyukai sukan tersebut. Perkara yang menambat hati saya untuk berlayar pada masa itu ialah kebebasan dan autonomi. Sayalah kapten untuk kapal saya sendiri. Ketika berusia lapan tahun, kamu bukan calang-calang kapten! Sejak saat itu, minat untuk berlayar semakin membara.

Saya berasa kagum dengan fakta sains di mana seseorang mengetahui cara berlayar ke serata dunia hanya dengan mengharapkan daya angin yang bertiup. Jika saya mahu bergerak dari Teluk San Francisco ke Thailand, Yaman atau Alexandria di Mesir, saya boleh sampai. Ada kalanya, alam ini sukar diduga dan anda perlu bersiap sedia agar dapat berhadapan dengan apa jua bahaya terutamanya apabila anginnya tidak baik.

Saya yakin anda boleh bersedia 90 peratus untuk itu, namun, tanpa mengira kepakaran anda, amat mustahil sekali untuk tidak bertemu dengan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Itulah detik yang paling menyeronokkan dan berbahaya pada masa yang sama. Bayangkan anda berada di suatu tempat terasing dan terpencil di muka bumi, jika sesuatu yang buruk berlaku dan ada sembilan orang lagi berada di dalam bot, anda perlu mempercayai mereka sepenuhnya. Keakraban di laut bermaksud, anda saling mempercayai bahawa anda sentiasa membantu antara satu sama lain.

Tanpa mengira kepakaran anda, amat mustahil sekali untuk tidak bertemu dengan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Itulah detik yang paling menyeronokkan dan berbahaya pada masa yang sama.

Jam ini diberikan oleh Raul Gardini, pemilik Moro di Venezia. Semasa kami memenangi Kejohanan Dunia Maxi pada 1988 di San Francisco, tempat saya membesar, Rolex menghadiahkan jam tangan kepada pengemudi bot yang menang. Tetapi Raul telah menempah 25 Submariner yang setiap satunya berukirkan “1988 Maxi World Champion, Il Moro di Venezia”, dan dihadiahi kepada setiap seorang kru. Ia merupakan sebuah penghargaan atas kerja keras dan bagi saya, jam ini ialah simbol penting dalam kerjaya saya di mana kami memenangi Siri Cabaran Piala Amerika sebelum bergerak ke pusingan akhir Piala Amerika dan akhirnya berlumba mengelilingi dunia. Sepanjang pengembaraan itu, jam ini setia menemani saya.

Saya pernah membawa Submariner ini berlayar di Porto Cervo semasa mendapat tempat kedua di kejohanan Dunia Maxi, kemudian di Jepun apabila kami memenangi Kejohanan Dunia kelas 50 kaki pada 1991. Saya telah berlayar ke Cowes on the Isle of Wight di England, kemudian Travemünde, Jerman, seterusnya Key West, di Amerika Syarikat. Jam tangan ini telah mengelilingi dunia bersama saya pada tahun 1997.

Rolex ini amat bermakna buat saya bukan sahaja disebabkan pelayaran, malah disebabkan oleh orang yang menghadiahkannya kepada saya.

Rolex ini amat bermakna buat saya bukan sahaja disebabkan pelayaran, malah disebabkan oleh orang yang menghadiahkannya kepada saya. Raul Gardini bukan sekadar seorang pemilik bot, namun beliau telah banyak mempengaruhi kerjaya saya, malah memainkan peranan besar dalam hidup saya. Beliau ialah mentor saya, persis seorang bapa.

Anak gadis saya amat menggemari jam ini semasa dia berusia 18 tahun, jadi saya meminjamkan kepadanya selama beberapa tahun. Dia memakainya sewaktu hari graduasi sekolah menengah, dan melihatnya berjalan megah di atas pentas memakai Rolex di pergelangan tangannya mengilhamkan saya untuk menghadiahkan setiap seorang anak-anak saya jam tangan Rolex semasa ulang tahun kelahiran mereka yang ke-21. Anak-anak saya juga gemar berlayar, dan saya berbesar hati untuk membimbing mereka; anak lelaki saya menerima Yacht-Master, manakala anak perempuan saya dihadiahkan Submariner, sama seperti ini.

JAM TANGAN PAUL CAYARD

Oyster Perpetual Submariner Date

Kongsi halaman ini