Juara ski gunung Switzerland, Lara Gut-Behrami menceburi arena ski gunung antarabangsa pada usia 16 tahun dan mula menempa nama sebagai salah seorang pemain ski terhandal. Pada 2008, dia muncul sebagai pemain ski termuda yang memenangi perlumbaan Super-G Piala Dunia. Musim 2015-2016 melakar detik manis dalam kerjayanya dengan merangkul dua Glob Kristal, termasuk gelaran Piala Dunia keseluruhannya yang pertama. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lalu dan menghadapi tekanan demi tekanan, Gut-Behrami memulakan musim seterusnya dengan mengungguli acara slalom gergasi di Sölden. Jam tangan Rolex beliau menjadi tanda kejayaan itu dan apa yang lebih penting, pelajaran berharga buat dirinya.

Saya dihadiahkan sepasang papan ski yang pertama oleh ibu saudara sempena hari jadi saya yang pertama pada musim bunga. Ternyata, saya berjalan di taman sepanjang musim panas dengan papan ski di kaki saya dan apabila musim sejuk tiba, saya sudah bersedia untuk bermain ski. Saya amat menggemari luncur salji. Bagi saya, rasa itu hadir dengan sendirinya. Entah bagaimana, saya pun menyertai perlumbaan Piala Dunia dan saya tidak sedar bagaimana hal itu terjadi, namun ia sungguh menyeronokkan.

Terdapat perbezaan yang besar antara menjadi pemain ski dengan pemain ski profesional. Pada zaman kanak-kanak, anda bermain ski sekadar untuk suka-suka. Apabila anda menceburi Piala Dunia atau sampai ke tahap profesional, tanpa disedari bermain ski melibatkan banyak perkara yang lain. Inilah masalah terbesar saya pada permulaan kerjaya saya kerana begitu banyak hal yang perlu difikirkan. Semua mata memerhatikan saya. Saya bermula ketika berusia 16 tahun di Piala Dunia dan saya tidak tahu selok-belok untuk menguruskan segala-galanya. Ketika saya berumur 15 tahun, saya bermain ski sekadar untuk suka-suka. Setahun kemudian, seluruh dunia mula bercakap tentang saya.

Muncul juara bererti menjadi seseorang yang boleh menunjukkan cara memperbaiki diri kepada orang lain, sekaligus mencabar diri anda sendiri. Saya mempunyai orang tua yang tabah dan mereka membantu saya dengan satu nasihat berharga, “Lakukan apa yang kamu inginkan, ketahui apa yang kamu mahu dan berjuang untuk mendapatkannya.” Saya rasa kuncinya adalah dengan mempunyai gabungan yang mantap dari segenap aspek: untuk berjuang, berlatih, berehat, percaya akan diri sendiri, untuk mempunyai orang yang hebat di sekeliling anda, kerana anda tidak mampu pergi jauh secara bersendirian. Gabungan inilah yang membuahkan hasil.

Pada 2016, buat pertama kalinya saya memenangi gelaran keseluruhan dalam Piala Dunia. Saya berjaya membawa pulang glob ke Switzerland selepas lebih daripada 20 tahun. Ia merupakan detik yang penuh dengan emosi kerana saya merasakan semua insan yang menyokong saya selama ini telah membawa saya ke tahap yang membanggakan ini.

Datang ke Sölden musim yang berikutnya terasa agak getir kerana saya meletakkan diri saya di bawah tekanan yang amat besar pada minggu sebelum perlumbaan. Terdetik di kepala saya, “Okey, saya telah meraih gelaran, saya harus tampil lebih cemerlang, apa yang harus saya lakukan?” Sehari sebelum perlumbaan, seorang pelumba memberitahu saya, “Lakukan dengan sepenuh hati.” Saya menyedari betapa hebatnya minda kita kerana anda boleh berjaya jika anda yakin boleh, tetapi anda boleh kehilangan segala-galanya sekiranya anda mengambil langkah yang merugikan diri sendiri. Minda ialah musuh anda paling utama, minda juga boleh menjadi sahabat akrab anda. Sölden merupakan cabaran yang amat besar bagi diri saya, tetapi saya bersyukur atas cabaran itu kerana saya banyak belajar daripadanya. Semua perkara menjadi lebih mudah selepas acara di Sölden.

Saya menyedari betapa hebatnya minda kita kerana anda boleh berjaya jika anda yakin boleh, tetapi anda boleh kehilangan segala-galanya sekiranya anda mengambil langkah yang merugikan diri sendiri.

Tarikh 22 Oktober 2016 diukir pada jam tangan saya. Itulah tarikh kemenangan saya di Sölden. Selepas beberapa tahun, saya menatap jam ini seraya terfikir, “Jam tangan ini menjadi tanda bagi detik teristimewa.” Ketika di Solden, terdetik di hati saya bahawa jam tangan ini telah menanti saya selama ini. Namun, masanya belum tiba. Itulah detik yang tepat untuk memiliki sesuatu yang mengingatkan saya tentang perlumbaan itu, dan iktibar di sebaliknya.

Saya rasa, setiap perkembangan dalam hidup adalah penting untuk mengubah diri anda, bukannya kemenangan semata-mata. Ayah saya pernah berkata, “Proses ialah aspek yang membawa perubahan, bukannya hasil.” Jam tangan ini, mewakili proses itu. Ia mengingatkan saya pada diri saya di titik permulaan dan menjadi orang yang berbeza di garisan penamat setelah mengharungi pahit maung kehidupan, dan pengalaman itu mengubah diri anda agar menjadi lebih baik dan pergi lebih jauh. Jadi jam tangan ini bukan sahaja mengingatkan saya tentang kejayaan. Ia mengingatkan saya tentang perasaan yang bercampur-baur dan kisah yang berlaku di Sölden. Kejayaan terukir selama satu hari, kemudian ia akan berakhir. Pengalaman… ia boleh membantu anda mengharungi hidup ini.

Jam tangan ini bukan sahaja mengingatkan saya tentang kejayaan. Ia mengingatkan saya tentang perasaan yang bercampur-baur dan kisah yang berlaku di Sölden.

JAM TANGAN LARA GUT-BEHRAMI

Oyster Perpetual Cosmograph Daytona

Kongsi halaman ini