Pemain golf profesional Amerika, Jack Nicklaus amat dikenali sebagai salah seorang pemain golf terhebat sepanjang zaman; beliau telah memenangi 18 rekod kejohanan Utama sepanjang kariernya. Selepas kejayaannya pada Masters 1966, dia menjadi pemenang berturut-turut yang pertama bagi kejohanan itu, satu pencapaian yang menjulangnya ke puncak kegemilangan arena golf. Bergelar salah seorang “The Big Three” di samping Arnold Palmer dan Gary Player, beliau masih lagi memakai Rolex Day-Date selepas 50 tahun, justeru jam tangan itu menjadi saksi setia sepanjang kariernya yang mengukir sejarah ulung dalam sukan golf.

Permainan golf ialah sukan individu di mana anda hanya bertanggungjawab terhadap apa yang anda lakukan. Ia bukanlah satu sukan berpasukan. Ia merupakan sukan yang tidak kiralah apapun tindakan anda, anda melakukannya atas usaha sendiri, tiada siapa yang akan membantu anda. Anda perlu melakukan yang terbaik dengan keupayaan anda, penuh integriti dan semangat kesukanan.

Pada tahun 1966, saya berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak, saya memenangi Grand Slam dalam arena golf dan boleh dikatakan saya telah menggapai puncak kejayaan. Arnold Palmer, Gary Player dan saya mendominasi permainan pada waktu itu dan digelar sebagai The Big Three. Kami tidak peduli dengan kedudukan kami, ia tidak memberikan sebarang perbezaan pun; kami semua hanya dahagakan kemenangan. Kami semua ingin menjadi The Big One, dan sebab itulah persaingan antara kami begitu sengit sekali. Bersatu teguh, bercerai roboh. Slogan ini menjadi pegangan kami. Kami bersaing bersama, makan bersama, berhibur bersama dan mengembara bersama; kami sangat akrab. Jika sesiapa ada masalah, semua akan menghulurkan bantuan. Kami saling menyokong antara satu sama lain. Saya rasa, perasaan kagum dan hormat saya terhadap Arnold dan Gary memainkan peranan penting dalam kerjaya saya. Mereka sezaman dengan saya, tetapi mereka juga insan pujaan saya. Ternyata, gelaran The Big Three telah merancakkan lagi arena sukan golf.

Pada tahun yang sama, kami menyertai perlawanan Piala Kanada di Tokyo. Saya, Arnold dan Gary menghadiri majlis koktel Rolex dan sebagai tanda terima kasih, Rolex meminta saya untuk memilih sebuah jam tangan. Saya memilih Day-Date “emas” ini kerana Gary Player yang sudah memiliki Rolex pada waktu itu memberitahu saya, “Itulah jam tangan yang terbaik.” Sejak itu, saya memakainya hampir ke mana-mana saja saya pergi. Ia menyaksikan semua kejohanan yang telah saya juarai, semua penghormatan yang saya terima di seluruh dunia; banyak tempat istimewa yang ia telah kunjungi. Saya tidak pernah memiliki jam tangan sebelum jam tangan ini. Saya ada jam tangan yang lain, dahulu pun ada banyak jam tangan yang lain, tetapi inilah satu-satunya yang saya pakai.

Ia menyaksikan semua kejohanan yang telah saya juarai, semua penghormatan yang saya terima di seluruh dunia; banyak tempat istimewa yang ia telah kunjungi.

Jam tangan ini menjadi saksi pahit getir perjuangan saya. Banyak sekali kisah Jack Nicklaus yang boleh ditelusuri sepanjang kariernya dan ada pengumpul cerita yang ingin mengetahui sejarah tersebut. Kami mungkin akan melelongnya dalam tahun hadapan. Dan jika ini berjalan seperti yang dirancang, saya harap kami menghasilkan cerita yang menarik baginya. Ia akan disalurkan kepada badan amal. Kami mahu ia disalurkan ke Yayasan Penjagaan Kesihatan Kanak-kanak Nicklaus yang akan memberikan manfaat kepada ribuan kanak-kanak; ia akan mengukir senyuman di wajah ramai kanak-kanak.

Saya fikir jam tangan ini mungkin kelihatan seperti mana-mana jam tangan yang pernah dipakai oleh seseorang. Ia merupakan kawan lama, kawan lama yang sangat gembira.

Pada saya, kelanjutan usia ialah sesuatu yang harus kita titik beratkan. Kita memerlukan konsistensi dalam kehidupan kita. Saya telah memakai jam tangan ini selama 51 tahun, saya telah berkahwin selama 58 tahun dan kami telah tinggal di rumah yang sama selama 48 tahun. Saya tidak begitu gemar akan perubahan, saya sukakan konsistensi. Saya fikir jam tangan ini mungkin kelihatan seperti mana-mana jam tangan yang pernah dipakai oleh seseorang. Ia merupakan kawan lama, kawan lama yang sangat gembira.

JAM TANGAN JACK NICKLAUS

Oyster Perpetual Day-Date

Kongsi halaman ini