Pemenang Grand Slam, Gary Player – yang telah memenangi sembilan kejohanan Utama dalam Jelajah Biasa dan sembilan dalam Jelajah Senior – ialah salah seorang pemain golf paling berjaya dalam sejarah sukan itu. Turut digelar World's Most Traveled Athlete®, Player telah memenangi 165 kejohanan di enam benua sepanjang enam dekad dan telah dimasukkan ke dalam World Golf Hall of Fame pada tahun 1974. Bersama-sama Arnold Palmer dan Jack Nicklaus, beliau dikenali sebagai salah seorang pemain golf "The Big Three" pada zamannya – dari akhir 1950-an hingga akhir 1970-an. Beliau berkecimpung dalam golf secara profesional pada umur 17 tahun setelah menerima dorongan daripada ayahnya, yang memberitahu beliau mungkin akan memiliki Rolex suatu hari nanti. Hari ini, Rolex mengingatkan beliau tentang kesukaran yang dilaluinya dahulu, sejauh mana dia melangkah dan juga bapanya.

Saya dibesarkan di Afrika Selatan. Ibu saya meninggal ketika saya berusia sembilan tahun dan ayah saya bekerja di lombong emas sedalam 8000 kaki, dengan gaji 100 paun sebulan. Abang saya berada di medan perang pada umur 17 tahun dan kakak saya di sekolah berasrama penuh ketika itu. Ayah saya berkata kepada saya, “Ceburilah golf kerana ia merupakan sukan yang kamu boleh main buat selama-lamanya, dan kamu dapat mengembara ke seluruh dunia jika kamu bermain dengan cemerlang.” 

Saya menjadi juara kerana saya kenal apa itu erti penderitaan. Saya pulang ke rumah yang sunyi. Tiada siapa pun di sana. Pada usia sembilan tahun, saya perlu menyeterika baju dan memasak makanan saya sendiri. Saya baring di atas katil sambil menangis kerana saya berasa sunyi dan takut akan kegelapan malam pada usia sekecil itu. Saya percaya bahawa lebih banyak kesukaran yang kita lalui, ia mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih baik, walaupun kadangkala agak pahit untuk ditelan. Saya tidak mengeluh atas nasib yang menimpa; saya menyahut cabaran yang mendatang. Saya berkata kepada ayah saya: “Ayah, saya berazam akan menjadi pemain profesional.” Waktu itu, saya berumur 17 tahun.

Saya yakin bahawa usaha yang gigih ialah jawapannya. Saya tidak mendapat keistimewaan dan saya rasa jika anda membiarkan anak-anak anda diberikan keistimewaan, mereka akan menjadi terlalu manja. Anda harus membuatkan mereka faham yang hidup ini tidak mudah. Itu tidak dapat dinafikan kerana saya telah bertungkus-lumus dan apabila saya bermain, saya tidak pernah berputus asa. Apabila anda berlatih bersungguh-sungguh, semangat anda semakin membara, kesabaran anda diuji, tangan dan badan anda menjadi lebih kuat. Selalunya, orang akan berkata kepada saya, “Kamu berlatih terlalu bersungguh-sungguh, kamu memukul terlalu banyak bola, kamu akan membahayakan kesihatan kamu.” Saya pun membalas, “Sebaliknya, semakin banyak bola yang saya pukul, saya menjadi lebih kuat.” Sekiranya saya hidup mewah, saya tidak akan menjadi juara dunia seperti sekarang.

Ketika ayah saya, seperti yang saya katakan, seorang lelaki yang sangat miskin, melihat saya berlatih bersungguh-sungguh dan mula meraih kejayaan, dia berkata, "Teruskan usaha dan kamu mungkin akan membeli Rolex kamu sendiri suatu hari nanti." Dia cuma bergurau kerana nama Rolex sememangnya begitu tersohor pada waktu itu. Akhirnya, saya membeli Rolex saya yang pertama selepas memenangi Grand Slam saya buat julung kalinya. Perit rasanya mengimbau 60 tahun perjalanan kerjaya saya dan mengingati semuanya tetapi saya masih ingat sewaktu berkata, “Ayah, saya sudah memiliki jam tangan Rolex.”

Ketika ayah saya, seperti yang saya katakan, seorang lelaki yang sangat miskin, melihat saya berlatih bersungguh-sungguh dan mula meraih kejayaan, dia berkata: “Teruskan usaha dan kamu mungkin akan membeli Rolex kamu sendiri suatu hari nanti.”

Tatkala membeli Rolex pertama saya, perasaannya sukar untuk digambarkan. Tanpa sebarang kesenangan dalam hidup, kemudian anda mendapat hadiah atau anda membeli sesuatu yang berharga, terbit rasa syukur dalam jiwa. Saya rasa, kesyukuran itu amat penting dalam hidup kerana orang lupa betapa beruntungnya hidup mereka jika dibandingkan dengan orang lain. Itulah yang saya pelajari daripada pengembaraan ke seluruh dunia — rasa itu telah terpahat dan tertanam dalam diri saya, betapa bertuahnya saya.

Jam tangan yang saya pakai sekarang, saya membelinya beberapa tahun yang lalu. Ia bertatahkan emas dan mengingatkan saya kepada Rolex pertama saya dan ayah saya yang bekerja di lombong emas. Saya rasa jam tangan ialah harta yang menyentuh emosi, bergantung pada cara anda menanggapinya dan perkaitannya dengan hidup anda. Bagi saya, ia lebih daripada sekadar sebuah jam tangan, ia membawa suatu kisah.

Saya rasa jam tangan ialah harta yang menyentuh emosi, bergantung pada cara anda menanggapinya dan perkaitannya dengan hidup anda. Bagi saya, ia lebih daripada sekadar sebuah jam tangan, ia membawa suatu kisah.

Saya masih mengaitkan ayah saya dengan Rolex. Saya amat menyayangi ayah saya dan dia memainkan peranan yang amat penting dalam hidup saya. Dia seorang lelaki yang sungguh gagah dengan ketinggian enam kaki dua inci, namun apabila saya memenangi kejohanan, dia memeluk saya sambil menangis. Saya mewarisi sifat itu; hati saya mudah terusik dalam suasana yang menyentuh perasaan. Kadang-kadang, saya mengetuk jam tangan seraya berkata, “Ayah, saya berjaya jua akhirnya.”

JAM TANGAN GARY PLAYER

Oyster Perpetual Day-Date

Kongsi halaman ini