GMT‑Master II
Mengejar horizon baharu

Versi asal GMT-Master II dengan putaran jam di sebelah kiri penutup serta sisipan bezel hijau dan hitam.

Edisi baharu jam tangan ini menggemakan GMT-Master yang dicipta pada tahun 1955 yang mengiringi kemunculan penerbangan komersial. Pelarasan diperlukan untuk mengalihkan belitan putaran jam ke sebelah kiri penutup jam tangan dan bukaan tarikh ke jam 9. Perubahan juga terlibat pada proses mengukur ketepatan jam tangan semasa ujian akhir.

Sisipan bezel Cerachrom menggabungkan hijau dan hitam dalam padanan warna yang dikhaskan untuk jam tangan ini. Senggatan 24 jamnya membolehkan masa dalam zon waktu kedua dibaca dalam kombinasi dengan jarum 24 jam hijau berbentuk segi tiga susuh yang tersendiri.

Paparan Chromalight, dengan bahan pendarkilau yang dioptimumkan, dan kristal baharu dengan salutan anti-reflektif menawarkan keterbacaan yang dipertingkatkan dalam semua keadaan.

Versi baharu Oyster Perpetual GMT-Master II ini dilengkapi dengan kaliber 3285, yang dilancarkan pada tahun 2018 pada rangkaian ini. Kukuh dan boleh dipercayai, mekanisme canggih ini menawarkan prestasi kronometrik yang cemerlang.

GMT-Master II dengan putaran jam di sebelah kiri boleh didapati dengan rantai Oyster atau Jubilee.

Ambiens GMT-Master II

Satu instrumen, beberapa zon waktu

Direka sebagai sebuah bantuan navigasi untuk para professional yang mengelilingi dunia, dari masa ke masa GMT-Master menjadi jam tangan pilihan untuk para pengembara. Ia mempunyai reka bentuk yang unik dan dapat dikenali serta-merta dengan bezel boleh putar dwiarah dan sisipan bersenggat 24 jam, yang tersedia dalam pelbagai kombinasi dua warna – bahagian bawah melambangkan waktu siang dan bahagian atas menandakan waktu malam – dan juga dalam versi satu warna. GMT-Master, ‘jam tangan alatan’ sebenar, sentiasa berkembang untuk menawarkan prestasi teknikal yang semakin meningkat. Pada tahun 1982, Rolex memperkenalkan GMT-Master II, dengan mekanisme yang membenarkan jarum jam untuk ditetapkan secara bebas daripada jarum lain.

Dengan jarum jam, minit dan saat tradisionalnya, satu jarum 24 jam berbentuk segi tiga susuh, dan satu bezel boleh putar dwiarah dengan sisipan Cerachrom bersenggat 24 jam, GMT-Master II boleh memaparkan masa dalam dua zon waktu secara serentak: sama ada waktu tempatan dan masa rujukan, atau waktu tempatan dan zon waktu alternatif. Tarikhnya diselaraskan dengan waktu tempatan.

Seramik teknologi tinggi

Rolex memainkan peranan sebagai perintis untuk pembangunan seramik khas bagi membina bezel-bezel monoblok dan sisipan-sisipan bezel. Bahan-bahan ini bukan sahaja tahan calar, warna-warna mereka juga mempunyai keamatan yang jarang dan tahan terhadap kesan alam sekitar. Sebagai tambahan, lantaran komposisi kimianya, seramik berteknologi tinggi lengai dan tidak mengakis. Rolex telah membangunkan kepakaran eksklusif dan kaedah pembuatan inovatif yang membenarkan mereka untuk menghasilkan komponen-komponen seramik sepenuhnya sendiri.

Pada versi baharu GMT-Master II, bezel boleh putar dwiarah dilengkapi dengan satu sisipan Cerachrom dwiwarna yang bersenggat 24 jam dalam seramik hijau dan hitam. Senggatan dan angka yang dibentuk dan berlekuk disaluti dengan platinum melalui PVD (Pemendapan Wap Fizikal). Bezel ini boleh dipusingkan dengan mudah kerana adanya tombol-tombol kecil pada hujung bezel yang memberikan cengkaman yang baik.

Penutup Oyster,
simbol kekalisan air

Rantai Oyster
dan kancing keselamatan
Oysterlock

Rolex memperkenalkan ciptaan terbarunya: jam tangan yang menyinari cahaya optimisme dan inovasi dalam dunia pembuatan jam tangan.

Kongsi halaman ini