Liputan Rolex dan Penjelajahan

Meneroka untuk Menolak Sempadan

Bab satu

Penjelajahan memang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah Rolex.

Sama ada menawan puncak-puncak Himalaya, merentasi lapisan ais kutub atau menyelami laut yang dalam, jam tangan Rolex menemani beberapa pengembaraan paling mencabar pada abad ke-20. Setiap ekspedisi ini merupakan peluang untuk menguji dan meningkatkan kebolehpercayaan dan ketahanan jam tangan Rolex dengan menggunakan dunia sebagai makmal hidup. Maklum balas membina yang diterima oleh Rolex terbukti sangat bernilai untuk pembangunan yang selanjutnya.

Explorer yang dilancarkan pada 1953, lahir daripada pengalaman bersama ini berikutan kejayaan menawan Gunung Everest oleh Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay. 

Kemudian, Explorer II yang diperkenalkan pada 1971 mendapat tempat dalam dunia penjelajahan lantaran fungsi dan kemampuannya untuk bertahan dalam keadaan yang paling melampau. Ia menjadi jam tangan pilihan bagi peneroka kutub, ahli speleologi dan ahli volkanologi. Kedua-dua jam tangan ini terus menemani insan hebat dalam ekspedisi mereka ke seluruh pelosok Bumi untuk memahami planet ini dan mencari penyelesaian untuk melindunginya.

Pada abad yang lalu, penjelajahan telah mencapai tiga matlamat berturut-turut: untuk menemukan ceruk dunia yang belum diketahui, untuk melawan had ketahanan manusia, dan memerhati planet ini supaya dapat melindunginya dengan lebih baik. Dalam tiga cabaran ini, Rolex telah menemani para penjelajah dalam perjalanan mereka yang berani.

Penemuan

Kejayaan mendaki Gunung Everest oleh Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay pada tahun 1953 diraikan di seluruh dunia. Rolex memainkan peranannya dengan melengkapkan ekspedisi dengan jam tangan Oyster Perpetual.

Pada tahun yang sama selepas pencapaian para pendaki gunung, Explorer dikeluarkan. Pembuatannya memakan masa bertahun-tahun. Seawal tahun 1930-an, Rolex telah mula menyertai ekspedisi ke Himalaya dalam usaha untuk mengamati bagaimana jam tangannya akan bertindak balas dalam keadaan yang melampau di altitud tinggi. Selepas setiap pengembaraan, para pendaki memberikan maklum balas tentang prestasi jam tangan, yang membolehkan jenama ini membuat penambahbaikan untuk model yang akan datang. Sama seperti mekanisme jam tangan yang didorong oleh pergerakan si pemakainya, begitu juga dengan teknik pembuatan jam tangan yang semakin maju berkat pengalaman penjelajah dan jam tangan Rolex terus menemani banyak lagi usaha penemuan ke kawasan terpencil di planet kita. 

Yang Pertama Menawan Puncak Dunia

Gunung Everest ialah cabaran terulung buat para pendaki. Pada Mei 1953, dua ahli ekspedisi Britain telah sampai ke puncak legenda itu. Pencapaian mereka diraikan di seluruh dunia, dan Rolex memainkan peranan dalam kejayaan ini.

Setiap hari yang dilalui di Everest merupakan satu dugaan untuk bertahan hidup. Badan pendaki terseksa oleh kesejukan melampau, kekurangan oksigen, dan tekanan akibat persekitaran yang mencabar. Dalam kejerihan ini, dua lelaki yang sangat berani dan cekal menjadi orang pertama yang menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi di dunia pada 29 Mei 1953, pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki). Bagi ahli ekspedisi, mereka menjadi harapan terakhir untuk sampai ke puncak kerana ribut salji monsun dijangka berlaku dalam beberapa hari berikutnya. Didorong oleh keazaman yang luar biasa, Sir Edmund Hillary dari New Zealand, seorang penternak lebah dan pendaki gunung yang berpengalaman, dan Tenzing Norgay dari Nepal telah melakar sejarah di mana banyak percubaan sebelumnya gagal.

Ekspedisi ini diketuai oleh Sir John Hunt dan dianjurkan oleh British Joint Himalayan Committee, sebuah entiti Britain yang ditubuhkan untuk mengawasi pendakian Everest dan yang diasaskan bersama oleh Royal Geographical Society dan Alpine Club. Pasukan ekspedisi itu sendiri terdiri daripada 16 ahli, namun kekangan logistik memerlukan beratus-ratus porter untuk membawa banyak barang keperluan yang diperlukan sepanjang perjalanan.

Bahan ini termasuk banyak bungkusan yang mengandungi peralatan canggih yang disusun dengan cermat dan siap untuk digunakan. Daripada kasut pendakian yang direka khas hinggalah khemah yang diuji dalam terowong angin, tiada aspek yang diabaikan demi memastikan percubaan baharu ini berjaya. Rolex merupakan sebahagian daripada pengembaraan itu kerana bahan ekspedisi juga termasuk jam tangan Oyster Perpetual.

“Jam tangan Oyster Perpetual Rolex yang dipakai oleh pasukan Britain sekali lagi membuktikan kebolehpercayaannya di Everest,” tulis Sir John sekembalinya dari pendakian itu. “Kami gembira kerana paparan masanya yang tepat. Hal ini memastikan penyelarasan masa antara ahli pasukan dapat dikekalkan sepanjang masa. [...] Prestasinya amat bagus dan bagi kami, Oysters Rolex memang antara peralatan pendakian aras tinggi yang penting.” 

Himalaya: sebuah makmal hidup 

Gunung yang tinggi menyediakan persekitaran yang sempurna untuk mengukur kebolehpercayaan dan ketahanan jam tangan. Bagi Rolex, Himalaya merupakan makmal hidup yang terbaik. 

Sepanjang separuh pertama abad ke-20, puncak Himalaya yang belum ditawan menggamit dan menarik para pendaki dari seluruh dunia. Puncak yang paling memikat dan dinobatkan sebagai yang terulung – Gunung Everest. Tarikan puncak tertinggi di dunia ini serta kemungkinan menguji jam tangan dalam keadaan sebenar mendorong Rolex untuk bergabung dengan pasukan pendaki gunung perintis. Antara tahun 1933 hingga 1955, tidak kurang daripada 17 ekspedisi ke puncak tertinggi di dunia dilengkapi dengan jam tangan jenama ini.

Jam tangan ini menyaksikan beberapa pendakian pertama, bermula dari Everest pada 1953 – gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter dari aras laut. Ia diikuti oleh K2 pada 1954, yang kedua tertinggi iaitu 8,611 meter; Kangchenjunga pada 1955, yang ketiga tertinggi iaitu 8,586 meter; dan Makalu pada tahun yang sama, puncak kelima tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,485 meter. 

Perintis warga Switzerland di Himalaya

Annelies Lohner merupakan insan di sebalik ekspedisi Switzerland yang luar biasa ke pergunungan tertinggi di dunia. Jam tangan Rolex Oyster Perpetual dimasukkan ke dalam peralatan pendaki.

Seorang pendaki muda dan berbakat dari Grindelwald, sebuah desa di kaki gunung Jungfrau di Bernese Alps, Annelies Lohner mempamerkan keazaman yang luar biasa apabila beliau mencadangkan untuk merancang ekspedisi pertama Switzerland ke Himalaya selepas Perang Dunia Kedua. Sebagai pelopor pendakian gunung yang sukakan pengembaraan, beliau berjaya meyakinkan Swiss Foundation for Alpine Research untuk membenarkannya mengetuai satu pasukan ke pergunungan Gangotri di wilayah Garhwal Himal di utara India.

Selama lima bulan dari Mei hingga September 1947, ekspedisi tersebut berjaya mengharungi pendakian pertama ke Kedarnat, Satopanth, Puncak Kolindi (melalui bahagian timur laut), Balbala dan Nanda Ghunti, dan menjelajah massif Chaukhamba, iaitu beberapa puncak yang melebihi 6,000 dan 7,000 meter.

Untuk menyokong projek itu, Rolex menghadiahkan jam tangan Oyster Perpetual kepada setiap ahli pasukan untuk dipakai sepanjang pendakian. Jam tangan ini setia di sisi mereka pada setiap saat dan bertahan dalam keadaan yang melampau tanpa pernah mengecewakan mereka. Sekembalinya dari ekspedisi, para pendaki melaporkan tentang kekedapan air, ketepatan dan kemudahan jam tangan dari segi sistem putaran automatik mekanisme menggunakan rotor Perpetual. “Setiap jam tangan Rolex yang kami pakai memaparkan masa yang tepat. Mereka sangat berguna dan kami amat menyukainya. Hakikat bahawa kami tidak perlu memutarkannya adalah sangat bagus,” tulis André Roch, jurupandu ekspedisi, daripada tapak khemah Gangotri pada 7 Julai 1947.

Semasa pameran jam 1948 sekembalinya pasukan itu, Rolex mengadakan satu pameran yang menampilkan beberapa jam tangan yang dipakai ketika pengembaraan, berlatarkan hiasan yang menggambarkan puncak yang telah didaki.

Kalis air dalam perairan berais

Revolusi dari segi kekalisan airnya yang sempurna, penutup Rolex Oyster diuji beberapa tahun selepas dilancarkan oleh penjelajah terkenal semasa ekspedisi ke Greenland.

Habuk dan terutamanya kelembapan, boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian dalam jam tangan dan mengganggu fungsi utamanya sebagai penjaga masa. Untuk menyelesaikan masalah ini, Rolex membangunkan penutup Oyster di bawah dorongan pengasasnya, Hans Wilsdorf, yang yakin akan perlunya rekaan sedemikian. Penutup yang dimaterai dengan sempurna dipatenkan pada tahun 1926. Bagi memastikan kekalisan air dalam semua keadaan, Rolex secara berkala meminta penjelajah membawa jam tangan yang dilengkapi dengan penutup Oyster untuk diuji dalam keadaan sebenar. Penjelajah kutub Henry Georges ‘Gino’ Watkins membawa beberapa jam tangan Oyster Perpetual bersamanya dalam ekspedisi di pesisir pantai Greenland antara tahun 1930 hingga 1931. Selepas pengembaraan itu, beliau memberitahu Rolex tentang kekagumannya terhadap jam tangan ini, yang walaupun beberapa kali terendam di sepanjang perjalanan, tetapi masih berfungsi dengan sempurna.

Kisah
itu bersambung...

Teruskan meneroka

Kongsi halaman ini